malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kumpulan bela Teoh Beng Hock kecam ‘kehilangan paksa’ Ling
Diterbitkan:  May 9, 2025 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM
ADS

Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi membangkitkan kebimbangan terhadap apa yang didakwa sebagai satu lagi kes kehilangan paksa melibatkan seorang individu yang sedang disiasat SPRM.

NGO tersebut merujuk kes ahli perniagaan Pamela Ling Yueh yang dilaporkan diculik pada 9 April oleh individu yang dipercayai anggota polis ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

Pengerusinya Ng Yap Hwa menyifatkan masa penculikan yang kebetulan berlaku serentak dengan perubahan mendadak temu janjinya dengan SPRM sebagai sesuatu yang terlalu ketara untuk diabaikan.

“Ini merupakan satu lagi kes kehilangan paksa yang serius selepas kematian Teoh Beng Hock pada 2009 dan Ahmad Sarbani pada 2011 di premis SPRM,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2 Mei lalu, keluarga Ling mendedahkan wanita bergelar Datin Seri dan berusia 42 tahun itu sedang dalam perjalanan untuk bertemu pegawai SPRM pada 9 April berkaitan siasatan kes pengubahan wang haram, namun diculik sebelum sempat tiba di ibu pejabat suruhanjaya itu.

Ng Yap Hwa

Pemandu Grab yang membawa Ling pada hari itu mendakwa individu berpakaian seragam polis menghentikan kenderaannya, memaksa Ling turun, dan turut memaksanya menandakan perjalanan sebagai "selesai".

Ng menggesa kerajaan agar menyiasat insiden itu secara serius, sejajar dengan definisi kehilangan paksa oleh PBB, yang merangkumi penculikan dengan pengetahuan atau persetujuan mana-mana pihak dalam kerajaan.

“Ini bukan kali pertama SPRM terlibat dalam salah guna kuasa.

“Sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap SPRM dan mengambil tindakan undang-undang terhadap semua pegawai yang terlibat dalam kematian, kehilangan paksa, dan penyeksaan tahanan,” tegasnya.

Katanya lagi, siasatan polis yang sedang berjalan tidak sepatutnya dijadikan perisai oleh SPRM, dan menggesa siasatan lebih luas ke atas pegawai polis dan SPRM yang mungkin terlibat dalam kes Ling.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata pihaknya menemui beberapa petunjuk baru berhubung kes tersebut, namun tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut bagi menjaga keselamatan mangsa.

Menurut laporan, Ling telah diekstradisi dari Singapura awal tahun ini atas permintaan SPRM, di mana dia kemudiannya ditangkap dan direman.

Dia juga dilarang meninggalkan Malaysia dan dilaporkan telah beberapa kali dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan lanjut selepas dibebaskan.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Ling mendedahkan bahawa mangsa telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah tinggi bagi mencabar tindakan pihak SPRM.

Merujuk kes kehilangan profil tinggi sebelum ini melibatkan pastor Raymond Koh, Amri Che Mat dan Joshua Hilmy, Ng mengingatkan bahawa pola kekebalan daripada tindakan undang-undang dalam kalangan agensi penguatkuasaan telah menjejaskan kepercayaan rakyat dan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kematian dalam tahanan dan kehilangan paksa yang berulang kali berlaku merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan akan mencemarkan imej Malaysia serta kredibiliti kerajaan Madani.

“Kerajaan mesti komited untuk melaksanakan reformasi terhadap semua agensi penguatkuasaan dan mengembalikan kedaulatan undang-undang demi melindungi hak asas semua warganegara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen