Polis menafikan dakwaan mereka diarah menangkap lebih 70 pengikut Falun Gong menjelang lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia bulan lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata tindakan diambil terhadap kumpulan itu kerana melakukan aktiviti secara haram.
"Senang saja. (Ia) sesuatu pertubuhan yang haram. Haram maknanya tak boleh jalankan aktiviti dan boleh diambil tindakan bawah Akta Pertubuhan.
"Antara tindakan adalah boleh tangkap dan kita boleh tahan reman," katanya pada sidang media di ibu pejabat polis bandar raya awal hari ini.
Rusdi diminta mengulas mengenai penahanan 76 pengikut Falun Gong di Cheras pada 13 April, hanya dua hari sebelum ketibaan Xi di Kuala Lumpur.
Beberapa tahanan yang ditemu bual oleh Malaysiakini mendakwa mereka hanya dibebaskan selepas Xi menamatkan lawatan rasminya selama tiga hari dan meninggalkan negara ini.
Ada yang didakwa ditahan dalam lokap lebih 10 hari.
Mereka mendakwa operasi polis itu dilakukan untuk menutup mulut penentang pemimpin Parti Komunis China berkenaan.
Rusdi menegaskan semua tindakan polis dalam kes itu adalah mengikut undang-undang.
“Tak boleh kata sebab ikut arahan. Siapa punya arahan? Tindakan ini ikut proses undang-undang. Tahan pun ikut proses undang-undang.
"Ada ditahan dua hari, tiga hari. Kena ingat dalam kes ini mereka ditahan bukan satu dua orang, (tapi) ramai. Bila ramai, perlu kumpul keterangan semua orang, ambil masa," katanya.
Menurutnya, Falun Gong bukan baru di negara ini.
Rusdi berkata, dia telah menangani kumpulan itu sejak berkhidmat sebagai ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur lapan tahun lalu.
"(Mereka selalu) buat (bantahan) di kedutaan dan di pelbagai tempat.
“Kadang-kadang kita nasihatkan. Mungkin masa tu mereka masih belum diharamkan.
"Bila diharamkan, mereka tidak boleh adakan aktiviti secara terbuka atau aktiviti di tempat tertutup. Pasal ia adalah pertubuhan yang haram," katanya.
Rusdi berkata dia juga telah mengarahkan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur untuk mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan itu.
Katanya, ini supaya pengikut faham kumpulan mereka diharamkan di Malaysia dan tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti di sini.

