malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kompaun MCMC: Mana suara Suhakam dan Majlis Peguam, soal Bersatu
Diterbitkan:  May 8, 2025 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM
ADS

Bersatu hari ini mendesak agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam Malaysia (Majlis Peguam) bersuara selepas seorang pemimpin parti itu di peringkat akar umbi dikompaun RM10,000 semalam.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata hukuman tersebut yang dikenakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menunjukkan kebebasan bersuara di bawah kerajaan Madani sudah disekat.

Menganggap Suhakam dan Majlis Peguam kini sebagai "lesu" Tun Faisal berkata kerajaan kini menganggap suara rakyat lebih berbahaya berbanding kesalahan yang melibatkan aspek keselamatan dan moral.

"Suhakam dan Majlis Peguam perlu bersuara dalam hal berkaitan kebebasan bersuara rakyat dan hak-hak rakyat yang lain.

"Di bawah kerajaan yang kononnya Madani ini, peranan Suhakam dan Majlis Peguam nampak lemah dan lesu, atau lebih tepat lagi tidak kelihatan peranan mereka," katanya dalam kenyataan media petang ini.

Semalam Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Mohamad Shafiq Abdul Halim dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana memuat naik hantaran dianggap jelik melampau berkaitan isu Menara KL pada 31 Mac lalu.

Mohamad Shafiq menggunakan platform TikTok untuk membuat kandungan berkenaan.

Tun Faisal berkata Suhakamn dan Majlis Peguam sepatutnya bertindak mempertahankan hak asasi manusia dan prinsip keadilan, bukannya "terus membisu" selepas MCMC mengenakan kompaun tersebut.

Dia yang juga bekas Setiausaha Akhbar Annuar Musa menambah, sikap yang ditunjukkan kedua-dua baran itu mengundang persoalan terhadap kejujuran mereka mempertahankan hak rakyat.

Dia juga membuat perbandingan kompaun yang dikenakan ke atas Mohamad Shafiq lebih tinggi berbanding hukuman yang dikenakan atas kesalahan dianggap lebih serius.

Antaranya Tun Faisal kesalahan merakam aksi anak tiri bawah umur mandi sebanyak 18 kali, serta kesalahan memiliki senapang dan peluru tanpa permit. Kedua-dua kesalahan itu dikenakan denda RM6,000.

"Kerajaan yang tanpa segan silu menggunakan istilah Madani wajar membatalkan denda yang dikenakan dan menggugurkan pertuduhan terhadap individu terbabit.

"Tindakan menyekat rakyat bersuara ini tidak mencerminkan nilai masyarakat bertamadun sebaliknya nilai 'barbaric', apabila kuasa mengatasi segalanya.

"Usaha juga mesti dilakukan untuk menstrukturkan semula mekanisme kawal selia MCMC agar bebas daripada pengaruh politik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen