malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes penculikan Pamela Ling: Polis temui petunjuk baru
Diterbitkan:  May 8, 2025 1:57 PM
Dikemaskini: 8:23 AM
ADS

Polis telah menemui petunjuk baru dalam kes penculikan Pamela Ling Yueh, menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa.

Bagaimanapun, katanya polis tidak dapat mendedahkan butiran tentang perkembangan siasatan supaya tidak menjejaskan keselamatan mangsa.

"Sudah tentu ada pentunjuk baru tapi kita tak boleh kongsi, nanti rosak kes kita. Yang penting nak selamatkan dia, tak boleh tergopoh-gapah,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

Rusdi Mohd Isa

Rusdi ditanya jika polis mempunyai petunjuk baharu mengenai kes itu.

Pesuruhjaya polis itu juga percaya Ling masih hidup. Katanya, berdasarkan rekod jabatan imigresen, mangsa berkemungkinan masih berada di negara ini.

“Ada kes orang lama hilang (tapi) hidup lagi, ada orang baru hilang dah mati, ini tak tentu.

“Tapi saya yakin dia masih ada lagi,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di ibu pejabat polis Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya lanjut, Rusdi berkata polis mendapati sekurang-kurangnya lapan individu yang menaiki lima kereta terlibat dalam kejadian penculikan di Putrajaya pada 9 April lalu.

Katanya, ia hasil semakan yang dilakukan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.

“Melalui rakaman CCTV berkenaan kita dapati tiga kenderaan, masing-masing sebuah Toyota Camry, Nissan Almera dan Nissan Teana, telah menghalang laluan kereta e-hailing yang dinaiki oleh Pamela Ling manakala dua lagi kereta bertindak mengawasi kawasan sekitar.

“Tiga individu kemudian keluar daripada kereta yang menghalang kenderaan dinaiki Pamela Ling dan mengarahkan mangsa keluar dan memasuki salah sebuah kereta terlibat.

“Semua kereta berkenaan kemudian dilihat menggunakan dua laluan berbeza untuk keluar dari Putrajaya,” katanya lagi.

Rusdi berkata hasil pemerhatian rakaman CCTV itu juga, polis mengesahkan dua individu yang terlibat memakai vest seperti yang digunakan oleh anggota polis.

Bagaimanapun dia berkata siasatan awal polis mendapati tiada apa-apa serbuan atau operasi dijalankan oleh mana-mana bahagian PDRM di sekitar lokasi itu pada hari kejadian dan suspek dipercayai bertindak menyamar sebagai polis untuk mengaburi mangsa, orang ramai dan pihak berkuasa.

Rusdi berkata rakaman CCTV juga menunjukkan tiada sebarang pergelutan berlaku dan mangsa dilihat akur ketika diminta keluar dari kenderaan yang dinaiki dan masuk ke dalam sebuah daripada kenderaan suspek.

"Malah pemandu e-panggilan itu juga hanya menurut sahaja apabila diarahkan untuk menyerahkan kad pengenalannya dan menandakan perjalanan telah tamat seperti yang diarahkan suspek.

“Laporan polis dibuat oleh pemandu itu kerana suspek tidak menyerahkan kembali kad pengenalan beliau," katanya.

Pada 9 April lalu, Ling, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan, untuk memberi keterangan berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan, dan polis menerima laporan berhubung kehilangannya pada 3.02 petang hari yang sama.

Sementara itu Rusdi berkata 16 individu telah direkod keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dia juga tidak menolak kemungkinan polis akan merekod keterangan tiga anak kepada Pamela Ling serta beberapa individu lain di Singapura bagi membantu siasatan.

Bagi memudahkan urusan dia berkata proses rakaman percakapan saksi yang berada di Singapura dijangka boleh dilakukan di Johor atau pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

“Kita boleh minta mereka hadir ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru.

“Selain itu, kita juga boleh rakam keterangan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, namun, ia bergantung kepada keperluan siasatan,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen