malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Saya tak pernah tengok maksiat, vandalisme di Gua Cenderawasih'
ADS

Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers) membantah pembinaan sebuah kafe di Gua Cenderawasih, dan menafikan dakwaan bahawa gua tersebut terjejas teruk akibat vandalisme dan kekotoran seperti dinyatakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Setiausahanya, Mohd Aizat Zahid, 36, berkata kenyataan sedemikian adalah tidak tepat dan mengelirukan masyarakat mengenai keadaan sebenar lokasi yang menjadi tumpuan aktiviti riadah dan ekopelancongan itu.

“Sepanjang saya mengunjungi gua itu, saya tidak pernah melihat sebarang kegiatan maksiat atau vandalisme—hanya terdapat tulisan ‘Selamat Datang’. Jika ada kekotoran sekali pun, ia biasanya berpunca daripada monyet, bukannya orang awam.

“Malah, setiap pagi dan petang ada penduduk yang datang membersihkan kawasan gua. Jadi dakwaan bahawa gua ini kotor dan terbiar adalah tidak benar,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 1 Mei lalu, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli mempertahankan tindakan mengecat dinding gua itu dengan alasan ia bertujuan menutup kata-kata kesat akibat vandalisme, dan bukan untuk merosakkan nilai semula jadi gua berkenaan.

Mohd Shukri juga menyatakan cat yang digunakan bersifat sementara.

Manakala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata struktur yang didirikan di gua itu adalah sementara dan boleh dirobohkan pada bila-bila masa.

Affendi juga berkata MPK memberi kelulusan bagi pengoperasian kafe di kawasan itu berikutan lokasi berkenaan sebelum ini sering terpalit dengan vandalisme, pembuangan najis dan budaya negatif lain.

Mengulas lanjut, Aizat menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah pengunjung sejak isu pembinaan kafe itu tular, yang menurutnya boleh memberi tekanan kepada ekosistem dan struktur semula jadi gua.

 “Kami risau kalau aktiviti dalam gua bertambah dan beri tekanan kepada struktur semula jadi gua. Setakat ini kerja pembinaan kafe ditangguhkan, tapi kehadiran orang awam semakin meningkat untuk tengok sendiri apa yang berlaku,” katanya yang juga pengerusi Persatuan Malim Gunung Perhutanan Perlis (MGP Perlis).

Aizat turut menjelaskan bahawa tiada sebarang pengumuman rasmi berhubung pembinaan struktur tambahan lain, namun komuniti berpandangan sebarang pembangunan harus ditangguhkan sehingga kajian teknikal bebas dijalankan.

“Kami bukan menolak pembangunan, tetapi biarlah ia berdasarkan kajian teknikal oleh pakar dan agensi berkaitan. Gua ini kawasan sensitif, bukan boleh dibangunkan sewenang-wenangnya,” tegasnya.

Aizat turut berkongsi hasil tinjauan di media sosial yang menunjukkan lebih 90 peratus pengguna membantah pembinaan kafe tersebut, malah ramai mengkritik MPK atas kegagalan mengurus isu ini dengan baik.

“Ramai persoalkan kenapa perlu bina kafe dalam gua sedangkan ada lot kedai milik MPK yang kosong tidak sampai 10 meter dari situ,” ujarnya.

Tambahnya lagi, komuniti saintifik, NGO dan penggiat Geopark turut menyuarakan kebimbangan terhadap pembangunan tergesa-gesa yang berpotensi menjejaskan nilai geologi gua tersebut serta menggugat usaha Perlis untuk mendapat pengiktirafan UNESCO Global Geopark.

“Kalau gua ini rosak kerana pembangunan yang tidak terkawal, kita semua akan rugi besar—bukan sahaja dari segi pemuliharaan alam sekitar, tetapi juga harapan negeri untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen