malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sidang sulit Vatican: Asap hitam tanda tiada Paus dipilih
ADS

Sidang sulit Vatican bagi memilih Paus ke-267 bermula semalam, namun asap hitam yang kelihatan dari cerobong Gereja Kecil Sistina menandakan tiada calon terpilih dalam undian pusingan pertama, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Proses pengundian dijadual bersambung pada Khamis ketika gereja Katolik menantikan pengumuman pemimpin baru mereka.

Jika Paus baru dipilih, asap putih akan kelihatan dari cerobong sebagai isyarat diikuti pengisytiharan oleh Kardinal Protodeacon dari balkoni Basilika St. Peter.

Mengikut tradisi berabad lamanya, seramai 133 kardinal berhimpun di Vatican untuk memulakan proses pemilihan pemimpin baru.

Mengikut peraturan, calon perlu memperoleh majoriti dua pertiga untuk dilantik sebagai Paus seterusnya.

Sidang sulit tahun ini meneruskan tradisi yang bermula pada 1492, ketika Gereja Kecil Sistina kali pertama digunakan untuk pemilihan Paus.

Walaupun dalam sejarah terdapat sidang sulit yang mengambil masa bertahun-tahun, proses pemilihan pada era moden lebih pantas.

Pada 2013, Paus Francis dipilih selepas lima pusingan undian dalam tempoh dua hari.

Paus Francis meninggal dunia pada 21 April lalu pada usia 88 tahun akibat komplikasi kesihatan termasuk serangan jantung.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen