malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemberi maklumat Sabah: Saya ditekan ke dinding, jadi saya lawan
Diterbitkan:  May 8, 2025 8:53 AM
Dikemaskini: 3:41 AM
ADS

Pemberi maklumat mengenai skandal rasuah di Sabah berkata, ketika dia membuat keputusan untuk mendedahkan video-video berkaitan, ada yang memuji tindakannya sebagai berani, manakala yang lain pula menganggapnya gila.

Dalam satu wawancara bersama bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim yang disiarkan di YouTube, ahli perniagaan berusia 36 tahun dikenali sebagai Albert itu menyifatkan tindakannya itu sebagai satu perbuatan terdesak.

“Seperti apa yang saya buat sekarang, banyak orang cakap kau memang cukup berani, kau gila.

“Saya cakap bukan saya berani, bukan saya gila, saya telah ditolak sampai dinding, telah ditolak sampai corner, saya tak boleh bernafas. I can’t breath anymore, sebab tu saya terpaksa lawan,” jelasnya.

Albert turut menyatakan harapannya agar Anwar Ibrahim memandang serius isu itu, walaupun Zaid menyebut bahawa setakat ini perdana menteri masih belum mengambil sebarang tindakan.

Albert berkata dia masih menaruh harapan terhadap Anwar dalam membanteras rasuah, malah mengatakan dia belajar perkataan “sakau” daripada ucapan perdana menteri sendiri.

“Beliau (perdana menteri) sering kali menegaskan tatakelola, inilah tatakelola, beliau sering kali..(sebut) perkataan sakau, saya pun belajar daripada dia, tahu. Dulu saya tak pernah pun mendengar perkataan sakau.

“Mohonlah, saya merayu beliau ambil tindakan.

Zaid Ibrahim

“Saya berharap perdana menteri menyokong tindakan yang saya menggadaikan nyawa ini,” tambahnya, merujuk kepada ancaman bunuh yang diterimanya.

Albert yang menetap di Kuala Lumpur juga mendakwa seorang “taikun perniagaan” di Sabah cuba mensabotaj dirinya, namun tidak memberikan butiran lanjut atau menamakan individu tersebut.

“Di Sabah, ada taikun-taikun balak, ‘warlord’. Saya tahu siapa yang sabotaj saya. Saya pernah bincang dengan satu, dua warlord’ taikun balak, mereka beritahu saya, ‘Saya ni berpuluh tahun di sini tahu, kamu datang cari makan di sini, kamu harus datang sembah saya, bukan saya datang jumpa kamu.

“Dan ada sampai dia minta saham percuma 50 peratus (dalam syarikat yang mohon lesen cari gali), dia minta dengan saya, syaratnya untuk saya boleh masuk ke kawasan situ,” katanya.

Menegaskan tindakannya bukan bermotif politik, Albert berkata dia mahu rakyat Sabah memahami realiti sebenar yang berlaku di negeri mereka.

“Orang kaya semakin kaya. Orang miskin yang kumpulan besar ini semakin miskin. Kekayaan itu hanya dimiliki sekumpulan sahaja.

“Rakyat sengsara di Sabah, Gaji RM1000 lebih di Sabah tetapi makannya, beras ke, sayur ke, apa pun mahal. Jadi saya berharap orang Sabah sedarlah, lihatlah pemimpin mereka dalam kes ini (yang saya dedahkan),” ujarnya.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor sebelum ini mendakwa Albert berpakat dengan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Hajiji Noor

Albert juga sedang disiasat atas dakwaan terlibat dengan kartel yang cuba memonopoli aktiviti perlombongan di negeri itu.

Dalam satu hantaran di platform X semalam, Zaid merujuk kepada kes Pamela Ling dan menyatakan sokongan agar Albert diberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

“Pemberi maklumat dari Sabah telah menghubungi saya untuk menceritakan sisi beliau mengenai dakwaan skandal pemberian lesen cari gali di Sabah.

“Beliau merasakan orang ramai perlu tahu keseluruhan penglibatannya dalam kes Sabah ini, agar kerajaan terdorong untuk memberinya perlindungan.

“Saya tidak pasti sama ada beliau akan diberi perlindungan oleh kerajaan yang mengaku anti-rasuah ini, tetapi saya tetap bersetuju untuk bercakap dengannya. Anda mungkin berminat mendengar kisahnya jika beliau memilih untuk mendedahkannya,” kata Zaid.

Pada 29 April, Albert menyerahkan sebuah telefon bimbit yang mengandungi mesej WhatsApp berkaitan kes itu dan dokumen hampir 300 muka surat bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada hari yang sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata analisis forensik terhadap 10 klip video yang mengaitkan Hajiji dan beberapa Adun Sabah, yang diserahkan kepada SPRM pada 11 Mac, dijangka selesai minggu berikutnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen