malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Guan Eng menang saman fitnah terhadap pemimpin Gerakan, China Press
Diterbitkan:  May 8, 2025 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM
ADS

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, dan akhbar berbahasa Cina, China Press, bersalah kerana memfitnah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurut laporan Free Malaysia Today semalam, Hakim Kenneth St James mengarahkan Oh membayar ganti rugi am sebanyak RM400,000, kos guaman RM100,000, serta faedah 5 peratus setahun dari tarikh writ difailkan.

Oh turut diarahkan menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat kepada Lim dalam versi dalam talian dan akhbar bercetak China Press, serta dilarang mengulangi kenyataan fitnah tersebut.

China Press pula diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM150,000, kos RM80,000, dan faedah 5 peratus setahun.

Sementara itu, laporan China Press semalam mengenai kes yang sama menyatakan bahawa akhbar itu bercadang merayu keputusan tersebut, dan memetik Oh sebagai berkata bahawa dia akan berbincang dengan peguamnya sama ada akan mengemukakan rayuan atau tidak.

Menurut laporan FMT, kes ini berkait dengan sidang media Oh pada 25 September 2019, di mana dia mempersoalkan sama ada Lim telah membantu syarikat WGW Entertainment Sdn Bhd dan pemiliknya, Hendrik Huang, mendapatkan pengecualian cukai untuk konsert Mandopop “Fantastic Duo” yang dijadualkan di Spice Arena, Bayan Lepas, tetapi kemudiannya dibatalkan.

Oh dilaporkan mengemukakan gambar Lim bersama Huang serta surat rasmi daripada Kementerian Pelancongan semasa sidang media tersebut bagi menimbulkan persepsi wujud hubungan antara mereka.

Kenyataan Oh juga dimuatkan dalam satu siaran media Gerakan Pulau Pinang, dan diterbitkan oleh China Press.

Namun, Hakim St James dilaporkan mendapati bahawa walaupun kenyataan Oh berbentuk pertanyaan, ia adalah bersifat fitnah dan tidak boleh dianggap sebagai komen adil.

Portal berita itu memetik hakim itu sebagai berkata kenyataan Oh tidak berasaskan fakta dan bukan untuk kepentingan awam, serta dia tidak mempunyai kewajipan undang-undang atau moral untuk menerbitkannya.

Hakim turut memutuskan bahawa China Press memfitnah Lim dengan menerbitkan kenyataan Oh tanpa mengesahkan dakwaan tersebut atau mendapatkan respon daripada pemimpin DAP itu, sekali gus gagal memenuhi piawaian kewartawanan bertanggungjawab dan tidak berhak untuk bersandar pada doktrin "keistimewaan bersyarat" (qualified privilege).

Hakim juga menyatakan bahawa China Press sepatutnya lebih berhati-hati memandangkan kenyataan itu datang daripada lawan politik Lim.

Lim diwakili oleh K Simon Murali dan Kok Yuen Lin, manakala Oh diwakili oleh Baljit Singh dan Kernail Singh. China Press pula diwakili oleh Yiew Voon Lee dan Yiew De Xian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen