malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MCMC kompaun Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat RM10,000
Diterbitkan:  May 7, 2025 8:59 PM
Dikemaskini: 12:59 PM
ADS

Seorang pemimpin akar umbi Bersatu dikompaun RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kerana didapati memuat naik kandungan jelik melampau di media sosial.

Dalam kenyataan kepada media hari ini MCMC berkata Mohamad Shafiq Abdul Halim membuat hantaran tersebut pada 31 Mac lalu.

Kata MCMC, hantaran Mohamad Shafiq di TikTok itu melibatkan sentimen kaum dan agama terkait isu pekerja Menara KL.

“Tindakan ini diambil setelah mendapat izin pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara serta hasil siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata MCMC.

Menurut agensi penguat kuasa itu, undang-undang memperuntukkan larangan terhadap penggunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan penyebaran kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau.

“MCMC menasihati semua pengguna media sosial agar sentiasa bertanggungjawab dan beretika dalam memuat naik atau berkongsi kandungan.

“Penyebaran kandungan berunsur jelik melampau, khususnya yang boleh menjejaskan sensitiviti agama, kaum atau institusi diraja, tidak akan dikompromi,” katanya.

Sementara itu Mohamad Shafiq mendakwa dia berdepan dengan ketakutan apabila beberapa pegawai MCMC berkuknjung ke rumahnya untuk menyampaikan surat tawaran kompaun tersebut kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Tambah Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat itu, tiga atau empat pegawai MCMC bertindak dengan cara yang boleh disalah tafsir oleh orang ramai yang melihatnya serta menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan jiran tetangga.

“Tambahan pula terdapat seorang pegawai MCMC yang dilihat sengaja merakam gambar untuk tujuan yang dikatakan sebagai dokumentasi, termasuk suasana di dalam rumah saya dan kejiranan, tanpa penjelasan yang jelas.

“Tindakan yang dilakukan oleh MCMC ini boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk intimidasi yang berpotensi menimbulkan rasa takut dalam kalangan orang awam.

“Tambahan pula, pegawai-pegawai yang hadir tidak memperkenalkan diri mahupun menyatakan jawatan masing-masing apabila diminta, sebaliknya hanya memaklumkan bahawa mereka merupakan pengutus surat yang bertindak atas arahan pihak atasan,” dakwanya dalam hantaran di media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen