malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Audio Rauf': 2 saksi buat laporan polis, mohon perlindungan
ADS

Bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Mohamad Ali Mohamad, mengesahkan dua saksi membuat laporan polis berhubung satu rakaman audio yang mengaitkan dirinya dalam konspirasi politik didakwa melibatkan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Peguam ahli politil itu, Rafique Rashid Ali, berkata laporan polis oleh dua individu terbabit masing-masing dibuat pada 4 dan 5 Mei di Balai Polis Batang Tiga, Melaka.

“Kedua-dua saksi tersebut telah secara rela hati membuat laporan polis dan pada masa sama memohon perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Saksi-saksi secara jelas mengesahkan permohonan mereka dalam kedua-dua laporan polis tersebut dan mereka memohon untuk mendapat perlindungan di bawah akta tersebut.

“Dalam kes ini PDRM mesti memberi perlindunngan keselamatan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur. Ia turut dihadiri Mohamad Ali.

Terdahulu Mohamad Ali yang juga Timbalan Ketua Penerangan Bersatu turut membuat laporan polis supaya pihak berkuasa melakukan siasatan berkait kes tersebut.

Kes itu didakwa menyebabkan dia ditahan polis secara salah pada Nov 2023, dan tiada pendakwaan dilakukan setakat kini.

Sebelum ini beberapa rakaman audio ditularkan di media sosial mengandungi perbualan di antara dua individu, dengan salah seorang daripada mereka dipanggil sebagai "bos".

Rafique Rashid Ali

Dalam klip pertama, dikatakan "bos" dan individu tidak dikenali itu kedengaran membincangkan "laporan" yang akan dibuat di "balai" - dipercayai merujuk kepada balai polis.

Klip kedua pula mengandungi perbincangan di antara "bos" terbabit dengan seorang individu lain berhubung status "laporan" yang telah pun dibuat, serta janji ganjaran selepas tugas yang diarahkan itu selesai.

Pada 15 April lalu Mohamad Ali - yang pernah menjadi Ketua Umno Tangga Batu - ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah.

Cabar Rauf sekali lagi

Ab Rauf kemudian menafikan dia terlibat dalam sebarang kaitan dengan penahanan Mohamad Ali, malah menganggap spekulasi yang mengaitkan dia dengan kes itu sebagai tidak mempunyai sebarang asas.

Pengerusi Umno Melaka itu menegaskan dia mengetahui dalang di sebalik penyebaran beberapa klip audio mirip suaranya dan menegaskan ia sebagai permainan politik untuk menjejaskan namanya.

Ab Rauf dilaporkan berkata, dia tidak terkesan dengan permainan seumpama itu, justeru tidak perlu untuk mengambil tindakan seperti membuat laporan polis.

Rafique berkata pihaknya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut mengenai saksi-saksi berkenaan kerana ia tertakluk di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Mohamad Ali Mohamad

“Kedua-dua saksi tersebut dirakam percakapan separa dan mungkin dipanggil lagi untuk siasatan lanjut.

"Kita serahkan kepada budi bicara PDRM untuk buat dua perkara penting iaitu mengesahkan perlindungan yang diminta, dan melakukan melakukan siasatan secara adil, dan terbuka kerana ia melibatkan isu-isu rasuah, integriti dan salah guna kuasa,” katanya.

Sementara itu Mohamad Ali mengulangi cabarannya agar Ab Rauf tampil menjelaskan isu berkenaan sesuai dengan slogan kerajaan negeri iaitu "bijaksana laksana Tuah, berani laksana Jebat."

“Kamu (Ab Rauf) yang buat moto negeri Melaka, mana kebijaksanaan kamu wahai Encik Rauf? Mana keberanian kamu wahai Encik Rauf.

“Tampil ke hadapan tunjuk kebijaksanaan dan keberanian kalau kamu di pihak yang benar. Sekali lagi saya cabar Rauf,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen