Suhakam mendapati dakwaan bahawa seorang lelaki berusia 49 tahun yang dipenjarakan di Penjara Pokok Sena, Kedah tidak diberikan rawatan mencukupi sebelum kematiannya tahun lalu adalah berasas.
Dalam satu sidang media hari ini, panel pesuruhjaya Suhakam memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati Zaidi Abdul Hamid tidak menerima rawatan sewajarnya, khususnya selepas dia dikenakan hukuman sebat sebanyak 12 kali.
Ketika membacakan dapatan siasatan tersebut, Pesuruhjaya Suhakam, Noor Aziah Mohd Awal berkata analisis Suhakam terhadap laporan bedah siasat mendapati jangkitan akibat sebatan menyebabkan luka di bahagian tubuh Zaidi mengeluarkan nanah yang banyak.
Noor Aziah menjelaskan laporan bedah siasat tidak menunjukkan sebarang tanda rawatan diberikan walaupun jangkitan turut merebak ke bahagian kelangkang.
“Luka di bahagian belakang (Zaidi) yang disebat juga kelihatan tidak dibersihkan dan penuh dengan nanah, sesuatu yang hanya berlaku jika kecederaan tersebut tidak dirawat,” tambahnya.
Kecurigaan Suhakam bahawa luka akibat sebatan tidak dirawat dengan baik disahkan oleh laporan bedah siasat, yang menunjukkan tiada antibiotik dikesan dalam tubuh Zaidi – sedangkan antibiotik lazimnya digunakan untuk merawat luka bernanah.

Suruhanjaya itu turut menyatakan bahawa Zaidi, bersama beberapa banduan lain, dipercayai tidak ditempatkan di bilik sakit penjara selepas menjalani hukuman sebat tersebut.
Banduan rawat banduan
Apa yang lebih mengejutkan, Suhakam turut mendedahkan bahawa para banduan di Penjara Pokok Sena sering dipaksa menerima rawatan perubatan daripada banduan lain.
Banduan yang menjalankan tugas-tugas ini, kata Noor Aziah, bukan sahaja melakukan ujian tekanan darah tinggi dan diabetes, malah turut membersihkan luka – kadangkala tanpa kehadiran pembantu perubatan.
Menurut Noor Aziah, tahanan di penjara tersebut menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan perubatan kerana perlu mengikut jadual giliran berdasarkan blok masing-masing.
Tambahnya, mutu rawatan yang diberikan juga amat rendah, dengan klinik penjara hanya memberikan "Panadol" (paracetamol) sebagai ubat utama.
Sehubungan itu, Suhakam mengesyorkan agar satu siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat unsur kecuaian jenayah dalam kematian Zaidi pada 7 Oktober tahun lalu.
Haramkan hukuman sebat
Suhakam turut menggesa Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara menyemak semula mutu perkhidmatan kesihatan di Penjara Pokok Sena serta pusat tahanan lain di seluruh negara.
Suruhanjaya itu juga menggesa kerajaan supaya mengharamkan hukuman sebat, selari dengan matlamat Suhakam untuk menggunakan pendekatan hukuman yang lebih berperikemanusiaan.
Bagaimanapun, Suhakam memaklumkan bahawa surat-menyurat mereka kepada pihak berkuasa berkaitan masih belum mendapat sebarang maklum balas sehingga kini.
Pada Oktober tahun lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa luka di tubuh Zaidi semakin serius seminggu selepas dikenakan hukuman sebat.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan ahli keluarganya memandangkan Zaidi menghidap penyakit darah tinggi.
Sijil kematian Zaidi yang diperoleh oleh Malaysiakini menyatakan punca kematian sebagai “komplikasi septik akibat kecederaan tumpul di kawasan gluteal (punggung)”.
Zaidi pada asalnya dijatuhi hukuman mati pada tahun 2015.
Namun, selepas pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia, hukumannya telah dipinda pada 10 September kepada 33 tahun penjara bersama 12 kali sebatan.

