Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil hari ini menolak dakwaan parti itu mengamalkan nepotisme ekoran timbulnya desakan yang kian meningkat supaya Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan timbalan presiden.
Kata Fahmi, isu nepotisme tidak timbul kerana Nurul Izzah - yang merupakan anak kepada Presiden PKR dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, juga merupakan naib presiden parti berkenaan.
“Tak benar. Nurul Izzah merupakan naib presiden. Beliau memegang jawatan itu sekarang.
"Jadi isu seperti itu (nepotisme) tidak timbul," katanya pada sidang media mingguannya di Putrajaya petang ini.
Menteri Komunikasi itu diminta wartawan menjawab kritikan terhadap PKR yang dikaitkan dengan amalan nepotisme jika akhirnya Nurul Izzah memilih untuk bersaing merebut jawatan nombor dua parti.
Ketika ini jawatan timbalan presiden disandang oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. Setakat ini Rafizi sudah menyatakan kesediaannya mempertahankan jawatan tersebut.
Andainya Nurul Izzah bertanding dan memenangi pemilihan parti bagi jawatan peringkat pusat pada 23 Mei ini, PKR akan dipimpin oleh gandingan bapa dan anak.
Memberitahu media agar merujuk kenyataan akhbar yang dikeluarkannya dan beberapa lagi pemimpin cabang PKR di Kuala Lumpur sebelum ini, Fahmi berkata, PKR adalah sebuah parti yang meraikan demokrasi.
"Kita serahkan kepada kebijaksanaan anggota parti untuk membuat pilihan pemimpin yang mereka rasaya cocok dan sesuai dengan harapan, aspirasi, serta apa juga yang mereka dambakan bagi penggal 2025 -2028," katanya lagi.
Dalam kenyataan bersama itu, Fahmi bersama 12 lagi ketua cabang PKR di Wilayah Persekutuan secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada Nurul Izzah untuk menjadi timbalan presiden parti.
Kata mereka, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempunyai "pengalaman luas" dan memberikan sumbangan besar kepada parti, justeru sangat diyakini mampu mendapat sokongan padu bagi memenangi pilihan raya akan datang.
“Sokongan ini bukan hanya berdasarkan hubungan atau nostalgia kami dari sejarah kami dalam perjuangan ini, tetapi berdasarkan keyakinan kami terhadap kemampuan dan integriti beliau sebagai pemimpin masa depan parti ini.
“PKR memerlukan seorang tokoh seperti Nurul Izzah yang mempunyai diplomasi tinggi untuk menyatukan ahli parti dan mengukuhkan kerjasama dengan sekutu kita,” kata kenyataan itu.

