malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM: Pamela Ling, suami disiasat kes rasuah, pengubahan wang haram
Diterbitkan:  May 7, 2025 4:22 PM
Dikemaskini: 8:22 AM
ADS

SPRM hari ini menafikan sebarang dakwaan gangguan atau salah laku melibatkan kes siasatan terhadap Pamela Ling Yueh, yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu.

Sebaliknya SPRM dalam kenyataan media, hari ini memaklumkan wanita itu dan suaminya Hah Tiing Siu, sedang berhadapan siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram sejak Mei tahun lalu.

Siasatan adalah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Bagi melengkapkan siasatan, SPRM juga telah mengesan dan memanggil Pamela Ling Yueh untuk hadir ke ibu pejabat SPRM memberikan keterangan, namun beliau telah ingkar dan gagal memberikan kerjasama.

“Sehubungan itu, pada 2 Disember 2024, waran tangkap terhadap Pamela Ling telah di perolehi daripada Mahkamah Majistret Putrajaya atas kesalahan gagal mematuhi perintah menghadiri pemeriksaan bagi tujuan melengkapkan siasatan.

“Lanjutan daripada itu, pada 8 Januari lalu, satu tindakan operasi bersama pihak Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura telah dilancarkan dan Pamela Ling telah ditahan secara sah dan dibawa pulang ke Malaysia.” kata SPRM.

Keesokan harinya, pada 9 Januari, wanita itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan direman selama tiga hari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin SPRM pada 11 Januari.

Pada 9 April lalu, SPRM memanggil semula Pamela untuk rakaman percakapan susulan maklumat baru yang diperoleh. Notis untuk menahan dokumen perjalanannya juga dikeluarkan ketika itu, dengan kebenaran Timbalan Pendakwa Raya.

Namun, Pamela tidak hadir seperti dijadualkan, dan peguamnya kemudiannya membuat laporan polis mengenai kehilangan wanita itu pada hari yang sama.

SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan berhubung kes rasuah dan AMLA yang melibatkan Pamela tidak terjejas oleh semakan kehakiman yang difailkan olehnya sebelum dilaporkan hilang.

Menurut suruhanjaya itu, semakan kehakiman adalah hak individu, namun tidak membatalkan siasatan yang sah di sisi undang-undang.

"Sejak laporan kehilangan dibuat, SPRM telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini mengetuai siasatan kes orang hilang ini," kata kenyataan itu.

SPRM juga meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Keutamaan kini ialah usaha mengesan dan membawa pulang Pamela Ling dengan selamat dan secepat mungkin,” tambah kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen