Menteri Ekonomi Rafizi Ramli tampil menjelaskan bahawa dia mengambil cuti dari tugas rasmi baru-baru ini bagi menangani isu dan aduan yang timbul berhubung pemilihan parti.
Timbalan presiden PKR itu berkata dia telah mengemukakan permohonan cuti kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi meredakan keadaan di peringkat akar umbi, tanpa mengambil kira pihak yang membuat bantahan berhubung keputusan pemilihan parti.
"Menyedari bahawa aduan-aduan dan isu yang timbul perlu diuruskan dengan harmoni, sebagai timbalan presiden, saya membuat keputusan untuk memberi tumpuan menguruskan perkara ini sepenuh masa, termasuk berjumpa dan mendengar sendiri isu yang dibangkitkan oleh pelbagai calon yang bertanding, tanpa mengira kumpulan.
"Masa yang diperlukan adalah panjang. Sewajarnya, kerja-kerja mengurus parti yang memerlukan masa khusus seperti ini tidak dicampuradukkan dengan tugas dan masa sebagai seorang menteri.
"Bagi saya, mengasingkan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti politik dari tugasan rasmi seorang menteri adalah satu budaya politik baru yang wajar kita semai," katanya.
Pada 30 April, seorang menteri, yang tidak mahu namanya disiarkan, memaklumkan Malaysiakini bahawa Rafizi sedang bercuti di tengah-tengah khabar angin mengenai peletakan jawatannya dalam kerajaan.
Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Rafizi telah kembali bekerja semalam.
Perkembangan itu hadir di tengah pertikaian berhubung keputusan pemilihan PKR peringkat cabang yang menyaksikan beberapa sekutu utamanya tewas, sekali gus memberi gambaran cabaran getir Rafizi mempertahankan jawatan nombor duanya dalam pemilihan pucuk pimpinan pusat bulan ini.
Anwar sebelum ini meremehkan perkara itu, dengan menyifatkan bahawa mengambil cuti adalah perkara biasa.
Namun beberapa pihak mengkritik Rafizi atas keputusannya itu, termasuk Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi.
Fadhli berkata adalah "tidak masuk akal" bahawa cuti panjang Rafizi diluluskan oleh pihak atasannya, dengan mendakwa perkara itu telah menjadikan Malaysia bahan jenaka.
Puad pula mengingatkan Rafizi tugas rasmi sebagai kerajaan perlu diutamakan berbanding tugas dalam parti.

