Politik adalah medan yang penuh dengan emosi, dan drama seringkali menjadi bahan bakar yang memancing perhatian masyarakat. Lewat kemelut, seorang ahli politik mendewasa, dan kehebatan kepimpinannya kelak teruji.
Kebanyakan pemimpin politik besar dunia muncul dari celah-celah konflik, sama ada pertarungan mereka menumpah air mata, atau darah, atau sekadar menghidupkan polemik yang sengit.
Dalam sejarah Malaysia, dua nama besar yang telah mencorakkan wajah politik-pertarungan: Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad. Mereka adalah gergasi politik yang bakal kekal lama dalam lipatan perbandingan, lagi-lagi kemahiran bersama mereka adalah mencipta drama-drama baharu.
Namun, drama yang berlebihan boleh membawa trauma, baik kepada negara mahupun rakyat. Politik yang terbaik, adalah keseimbangan antara drama dan skema, antara perang dan damai.
Kedua-dua tokoh ini sekali-sekala memahami hakikat perlunya “keadaan temaram”, kalau meminjam istilah Hermann Broch, pengarang yang banyak berbicara mengenai delusi massa. Maka, dalam ruang kekaburan inilah, Anwar dan Mahathir mampu berseteru pada satu ketika, namun bersekutu pada ketika yang lain.
Pertarungan epik antara Anwar dan Mahathir memuncak pada era Reformasi 1998, sebelum duo mereka dalam Pakatan Harapan pada tahun 2018 menghasilkan kemenangan bergaya dalam pilihan raya umum ke-14. Semua ini adalah rakaman yang mungkin sukar untuk disaksikan lagi dalam politik Malaysia.
Namun, di sebalik bayang-bayang mereka, muncul pula sosok baharu yang menawarkan pendekatan yang sama sekali berbeza: Seorang yang boleh digelar sebagai “charivator”—gabungan watak analisis strategik dan inovator politik.
Anwar: Pesona ‘charm’
Dari penampakannya, Anwar Ibrahim adalah lambang seorang pemimpin yang charming. Beliau memiliki kemampuan luar biasa untuk memukau khalayak dengan penampilan, tutur kata, dan sentuhan peribadi.
Malah, sosok ini dianggap sebagai Soekarno Kecil lantaran kepetahannya berpidato dan kemampuannya merangkul pelbagai golongan—dari ahli politik, selebriti, sasterawan, ilmuwan, hinggalah agamawan. Sebagai seorang people person, Anwar berseni dalam membina sentuhan peribadi, menjadikan sesiapa yang berada di sekitarnya merasa istimewa.
Sebagai contoh, dalam satu peristiwa ketika persemadian Abdullah Ahmad Badawi di Makam Pahlawan, Anwar mungkin dengan selamba berkata kepada Muhyiddin Yassin mengenai Azmin Ali yang berada di sebelahnya, “Ini bekas orang saya.”

Ucapan yang ringkas tetapi memecah suasana ini menunjukkan bagaimana Anwar mampu melerai kekakuan dengan kehalusan dan ketenangannya. Keupayaannya untuk kekal relevan, walaupun setelah melalui pelbagai mehnah dan tribulasi, adalah bukti kekuatan tarikannya.
Dewasa ini, charm menjadi konsep personaliti politik. Julia Sonnevend dalam bukunya, Charm: How Magnetic Personalities Shape Global Politics, membahagikannya kepada beberapa kategori, seperti liberal charm (Jacinda Ardern), illiberal charm (Viktor Orban), offensive charm (Mohammad Javad Zarif), unexpected charm (Kim Jong-un), dan authenticity without charm (Angela Merkel).
Anwar, dengan gaya kepimpinannya yang terhias dengan “everyday magic”, barangkali boleh membuka kategori baharu dalam spektrum ini. Beliau menarik perhatian bukan sahaja melalui pidato yang membara, tetapi juga melalui keupayaannya menjadikan perkara biasa kelihatan luar biasa.
Seruan seperti “formidable, strong and convincing” atau “I have the numbers” ternyata menjadi ikonik—walaupun kerap diseloroh—di samping kecerdasannya mengekalkan aura autentik yang memikat, setidaknya kepada pengikut-pengikut tegarnya.
Namun, charm sahaja tidak mencukupi dalam dunia politik yang rumit. Mereka yang rapat dengan Anwar mungkin melihat sisi-sisi lain yang lebih pragmatik, malah kadang-kadang kontroversial. Oleh itu, konsep charisma tampil menjadi wacana tanding.
Mahathir: Aura ‘charisma’
Berbeza dengan Anwar, Mahathir adalah lambang charisma dalam politik Malaysia. Max Weber, ahli sosiologi terkenal, mentakrifkannya sebagai kualiti personaliti yang membezakan seorang pemimpin daripada orang biasa, seringkali dilihat sebagai luar biasa, malah kadang-kadang bersifat “supernatural”. Pemimpin berwibawa seperti Mahathir mampu menggalang kesetiaan buta daripada pengikut-pengikutnya.
Mahathir adalah negarawan yang berwawasan, tegas, dan penuh keyakinan. Beliau tidak takut membuat keputusan yang tidak popular, kerana yakin bahawa kekuatan karismanya cukup untuk mengawal risiko politik.

Sebagai contoh, pada 1987, Mahathir berjaya mengekalkan jawatan presiden Umno dalam pertarungan sengit dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Pada tahun 1998, keputusan berani Mahathir menambat ringgit kepada dolar AS semasa Krisis Kewangan Asia, menunjukkan tekadnya untuk mengambil risiko besar. Pemecatan Anwar pada tahun yang sama pula mengejutkan dunia, tetapi Mahathir kekal teguh dengan keyakinannya.
Tindakan-tindakan yang dianggap sebagai tidak terjangka ini mencerminkan karismatik seorang pemimpin yang tidak gentar berdepan hambatan, malah mencari-cari cabaran untuk membuktikan kehebatannya, ataupun gelisah sekiranya tiada musuh yang mencabar.
Rafizi: Kelahiran ‘charivator’
Anwar dan Mahathir, dengan lirikan charm dan charisma masing-masing, tidak boleh dinafikan telah mencipta pengikut yang fanatik. Namun, dunia politik tidak terbatas kepada dua kutub ini sahaja. Kini, kita menyaksikan kemunculan kategori baharu yang sukar dimuatkan ke dalam kerangka sedia ada.
Kategori ini boleh diperkenalkan sebagai charivator—gabungan antara chart (data dan analisis) dan innovator (kreatif mencari penyelesaian). Ahli politik dalam kategori ini dipandu oleh data, media, sains, dan teknologi, dengan tumpuan kepada penyelesaian masalah berbanding drama politik.
Kategori ini mengutamakan keberkesanan dan hasil. Dalam konteks Malaysia, Rafizi Ramli adalah contoh terbaik seorang charivator, sesuai dengan takrif Melvin J Hinich dan Michael C Munger dalam Analytical Politics.
“Analysis helps us understand relations of the parts, as well as the nature of the whole. Without an analytical approach, ‘politics’ is very hard to comprehend, especially if we want to know more than ‘What will happen tomorrow?’”
Rafizi bukanlah ahli politik-kerjaya. Beliau tidak kemaruk ghanimah politik untuk kelangsungan hidupnya, dan kemunculan politiknya sentiasa disertai dengan idea-idea baharu. Sebagai contoh, beliau menggerakkan PKR dalam dua pilihan raya umum—tahun 2018 dengan kempen “Bina Semula Negara” dan tahun 2022 dengan “Ayuh Malaysia”.
Demikian juga lewat inisiatif-inisiatifnya, PKR berjaya mengangkat Anwar sebagai perdana menteri ke-10, walaupun hanya berjaya meraih 47 kerusi dalam pilihan raya umum 2022, dan walaupun sebelum itu partinya kehilangan motivasi dahsyat akibat deretan kekalahan dalam pilihan raya negeri.
Apa yang telah dilakukan oleh Rafizi sejak kembali aktif ke kancah politik pada tahun 2022?
Rafizi mendesak setiap calon PKR mengisytiharkan harta, menyediakan laman web khusus untuk biodata setiap calon, melibatkan golongan profesional sebagai calon, memupuk semangat kesukarelawanan melalui Cista, mengumumkan calon lebih awal, selain secara tersusun mengatur gerakan kempen pilihan raya. Semua gerak ini adalah cerminan dari pendekatan analitiknya.
Sebagai menteri ekonomi pula, beliau memperkenalkan pelbagai inisiatif. Ini termasuklah mengubah ekonomi Malaysia dengan pendekatan berasaskan data melalui usaha seperti Rang Undang-Undang CCUS 2025, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), kerjasama dengan ARM Holdings, program “AI untuk Rakyat” dan memperkasa Jabatan Perangkaan Malaysia.
Bahkan, cemuhan “raja formula” yang diberikan kepadanya sebenarnya adalah suatu pujian secara tidak langsung, mencerminkan keupayaannya merumuskan langkah secara efektif. Berbeza dengan ahli politik lain yang lebih selesa bergantung kepada karisma, tarikan atau sokongan tokoh-tokoh besar, Rafizi tidak kekok berdiri atas keupayaan sendiri.
Cabaran Rafizi
Walaupun Rafizi Ramli menonjol sebagai seorang charivator, karekternya tidak terlepas daripada kritikan. Pendekatan analitik Rafizi boleh dianggap terlalu teknokratik, yang mungkin kurang berkesan dalam menarik sokongan golongan akar umbi parti atau pengundi luar bandar yang lebih berminat dengan sentuhan emosional atau karisma peribadi.
Kekurangannya ini membuktikan bahawa tiada sesiapa—termasuk Rafizi—yang boleh dianggap sebagai charivator tulen; sama seperti Anwar yang tidak boleh dianggap memiliki pesona charm sepenuhnya, atau Mahathir memiliki aura charisma sepenuhnya.
Dalam konteks ini, setiap watak—sama ada Rafizi, Anwar dan Mahathir—berada dalam spektrum dengan kadar kecenderungan yang bukan bersifat mutlak.
Justeru, seseorang seperti Rafizi boleh mengadunkan dimensi teknokratiknya dengan sedikit sentuhan peribadi, dan ini boleh menambah rencah emotif kepada kepimpinan analitiknya. Kombinasi seperti inilah yang telah membuatkannya relevan, jika medan pertarungan adalah saksama. Ini menunjukkan seorang charivator memang perlu sentiasa membuktikan diri.
Ketekalan Rafizi dalam berinteraksi dengan pengundi, seperti melalui siri pertemuan langsung di Parlimen Pandan, adalah pembuktian komitmennya terhadap rakyat. Berapa ramai ahli parlimen—sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang—yang benar-benar meluangkan masa untuk berbuat demikian secara khusus?
Pendekatan analitik bersama sentuhan peribadi yang memadai sudah menjadi ramuan yang tepat untuk merangkul sokongan meluas. Apa yang penting ialah mengutamakan hasil berbanding drama, sekaligus menjadikan Rafizi seorang tokoh yang berdiri sendiri; tidak perlu menagih sokongan dari orang tua atau seorang tuan.
Malah, boleh dikatakan bahawa seorang charivator berupaya memikat lebih ramai dari kelompok luar parti berbanding dari dalam parti lantaran kualiti hasil dan keberkesanan tentunya menjadi pilihan buat semua golongan: berparti dan tidak berparti.
Melampaui Anwar dan Mahathir
Dalam sejarah, politik Malaysia tidak pernah lelah dengan drama pertarungan kuasa. Tanpa kehadiran charivator seperti Rafizi, politik cenderung menjadi medan yang keras, malah ganas, malah kadang kala meletakkan rakyat sebagai hal-hal sekunder. Rafizi menawarkan keseimbangan antara Anwarisme dan Mahathirisme.
Pendekatan analitiknya ini bukan sahaja relevan untuk Malaysia Moden, tetapi juga untuk dunia politik global. Dalam masyarakat digital, kehadiran pemimpin yang berpengetahuan—mampu menggabungkan analisis strategik dan penyelesaian praktikal—akan menjadi semakin mendesak.
Rafizi, dengan enigmanya, bukan sahaja memeriahkan dinamika politik Malaysia, tetapi juga menghembus angir segar kepada generasi baharu untuk melihat wajah kepimpinan berdasarkan hasil berbanding drama.
Anwar dan Mahathir telah lama menjadi Sauron dan Aragorn dalam politik Malaysia. Namun, di tengah-tengah pertarungan epik mereka, muncul watak Gandalf yang menawarkan harapan: pendekatan baharu berasaskan data, inovasi, hasil, dan keberkesanan.
Dalam dunia politik yang seringkali penuh kekejaman Souron dan heroisme Aragorn, Rafizi adalah Gandalf yang biarpun berbeza inci, tetap mengingatkan kita bahawa politik bunuh-membunuh tidak pernah menjadi lebih penting berbanding menyelesaikan masalah hakiki rakyat.
Dengan pendekatannya yang unik, Rafizi bukan sahaja melampaui ketepuan politik Anwar dan Mahathir, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam perbahasan sosiologi politik.
AQIL FITHRI merupakan anggota Diskopi, sebuah perkumpulan perbincangan yang berpangkalan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

