malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Abim kecam media India perlekeh inisiatif Anwar
Diterbitkan:  May 7, 2025 12:11 PM
Dikemaskini: 4:11 AM
ADS

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam keras sikap segelintir media India yang didakwa memperlekeh usaha Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk menjadi perantara dalam konflik bersenjata antara India dan Pakistan.

Menurut Presiden Abim, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin tindakan sesetengah pengamal media dari India itu dianggap tidak profesional dan bertentangan dengan semangat diplomasi antarabangsa, lebih-lebih lagi ketika rantau Asia Selatan kini sedang berdepan krisis kemanusiaan yang memburuk.

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

“Abim mengecam sikap tidak profesional segelintir pengamal media India yang memperlekehkan inisiatif Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, untuk berperanan sebagai perantara keamanan.

“Ini adalah satu tindakan yang tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip diplomasi antarabangsa.

“Konflik yang berlaku di rantau strategik ini turut memberi impak besar terhadap kestabilan geo-ekonomi dan politik global, apatah lagi kerana ia melibatkan dua negara kuasa nuklear yang mewakili dua agama utama dunia — Islam dan Hindu,” kata Ahmad Fahmi dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, sebuah pertubuhan media di Indi, Firstpost membidas Anwar berhubung kenyataannya yang menawarkan diri menjadi pengantara antara India dan Pakistan.

Menurut wartawannya, Palki Sharma, Malaysia bukan negara yang berkecuali - justeru, tidak layak - untuk bertindak sebagai broker keamanan.

Malah, katanya, Malaysia juga jelas tidak mengiktiraf kedaulatan India ke atas Jammu dan Kashmir apabila Anwar menyebut wilayah berkenaan sebagai "Kashmir yang ditadbir oleh India".

Mengulas lanjut, Abim menggesa agar konflik bersenjata antara dua negara jiran itu dihentikan serta-merta. Ini, katanya bagi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah, khususnya membabitkan orang awam yang tidak berdosa.

Ahmad Fahmi turut menuding jari kepada tindakan provokatif oleh kerajaan India yang didakwa mencetuskan peningkatan ketegangan, termasuk penutupan empangan yang menjadi sumber air penting kepada Pakistan.

“Tindakan ini menyalahi prinsip kemanusiaan dan semangat kejiranan antarabangsa.

“Abim memandang serius insiden di Pahalgam, Kashmir, yang telah menjadi pencetus utama kepada konflik kali ini.

“Insiden tersebut harus disiasat dengan adil, bebas dan telus, agar tidak dijadikan alasan untuk tindakan ketenteraan yang memburukkan lagi keadaan serta menindas penduduk awam di wilayah bergolak itu,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata, konflik ini berpotensi menyuburkan Islamofobia dan xenofobia, bukan sahaja di Asia Selatan tetapi juga dalam wacana antarabangsa.

“Ia turut menzahirkan kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memainkan peranan efektif sebagai badan pengaman dunia, apabila ketegangan dibiarkan memuncak sehingga tercetusnya pertempuran bersenjata,” katanya.

“Konflik ini juga berpotensi menyuburkan Islamofobia dan xenofobia, bukan hanya di Asia Selatan tetapi dalam wacana antarabangsa,” kata Fahmi lagi, sambil menzahirkan kekecewaan terhadap kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memainkan peranan berkesan sebagai badan pengaman dunia.

Sehubungan itu, Abim menyeru masyarakat antarabangsa agar segera campur tangan dan menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian damai yang adil dan berkekalan.

Laporan media asing hari ini menyebut Pakistan bertindak balas dengan menembak jatuh lima pesawat tentera India selepas serangan India ke atas negara itu menyebabkan lapan orang terbunuh.

Pakistan menyifatkan serangan itu sebagai 'tindakan perang terang-terangan', pertempuran terburuk dalam tempoh lebih dua dekad antara dua negara bersenjata nuklear itu.

Dalam pertikaian wilayah hampir 80 tahun berhubung Kashmir, serangan India itu menyusuli serangan militan Islam bulan lalu yang meragut nyawa 26 pelancong Hindu di Kashmir yang ditadbir India.

India menuduh militan berpangkalan di Pakistan bertanggungjawab, namun Islamabad menafikannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen