ULASAN | Kepada saya Nurul Izzah Anwar, terlepas hakikat beliau puteri kepada Anwar Ibrahim, tanpa ragu seorang yang berwibawa dan punya kepimpinan.
Antara penilaian saya kepada mana-mana orang atau pemimpin ialah intellectual acumen, iaitu kebolehan membuat pertimbangan dan keputusan dalam situasi sukar. Ciri ini juga ada pada Nurul Izzah.
Malah saya yakin tidak ada mana-mana pihak - baik di kalangan kita mahu pun lebih ramai di luar sana - yang boleh menafikan kreadibiliti Nurul Izzah ini. Tentunya Nurul Izzah juga menjadi bahagian penting dan aset perjuangan sejak September Hitam 1998.
Pada sela kesibukkan hari ini yang membawa ke malam, sempat saya baca beberapa kenyataan serta komen di media sosial berikutan gesaan, malah saya sebut sedikit kasar, eksploitasi untuk Nurul Izzah bertanding jawatan timbalan presiden
Asasnya siapa sahaja berhak bertanding apa-apa jawatan waima jawatan presiden sekali pun - siapa sahaja, ini termasuklah sahabat baik saya bekas ahli parlimen Kapar Abdullah Sani atau setiausaha perdana menteri, Samsul Iskandar sekali pun. Gelanggang telah dibuka, genderang perang telah ditabuh, silalah turun ke gelanggang!
Itu asasnya. Ada yang saya baca untuk berikan justifikasi menyebut perlembagaan parti tidak menghalang Nurul Izzah (atau siapa sahaja) bertanding. Pandangan yang saya kira sangat naif. Untuk rekod, sebagai satu perbandingan, Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut apa-apa untuk jawatan timbalan perdana menteri.
Saya tidak reti politik tingkat tinggi ala kuasa Naruto iaitu Kage Bunshin no Jutsu sepertimana pemimpin hebat yang lain, istimewa yang di koridor kuasa di Pejabat Perdana Menteri. Tetapi yang saya tahu dan anuti antaranya sangat perlu memegang idealisme dan prinsip kerana semua ini memberikan penilaian kepada pengundi (persepsi) yang sangat mempengaruhi psikologi pengundi sama ada akan beri undi kepada kita atau sebaliknya.

Sejak September 1998 rakyat diajar dan diasuh betapa buruknya KKN (korupsi, kronisme dan nepotisme). Betapa punah ranah negara (dan organisasi) sekiranya nepotisme mencuat dan diamalkan. Kita turun ke jalan raya antaranya kerana amarah rakyat terhadap amalan kronisme selain sebagai pembelaan kepada kezaliman terhadap Anwar.
Sehinggakan anak-anak kita pada waktu itu masih bocah pun tahu apa itu KKN, apa itu kronisme. Demikian usrah dan didikan Anwar kepada kita semua.
Saya simpati kepada Nurul Izzah, dek kerana beliau puteri Anwar, tampaknya seolah-olah ada kekangan terhadapnya. Pun begitu saya lebih simpati tatkala nama baiknya, nama baik Anwar dan nama baik Wan Azizah Wan Ismail diheret malah, dengan izin, tercemar dek angkara seorang dua pemimpin yang punya niat muslihat politik mereka tersendiri mengeksploitasi Nurul Izzah yang secara tidak langsung mengheret kedua orang tuanya.
Cemar nama Anwar, Azizah
Bacalah komen-komen di media sosial, sebahagiannya anggota parti dan bahagian yang ramai boleh saya tafsirkan sebagai pendukung atau yang non-partisan yang mengecam Anwar dan Wan Azizah. Saya malah tersinggung membacanya walaupun tidak dituju kepada saya tetapi yang dikecam dan menjadi bahan lelucon dan dilabel sedemikian rupa itu pemimpin saya dan anda.
Presiden parti saya dan mantan presiden parti saya yang lebih dua dekad ketika suaminya mendekam di balik jeriji besi mengharungi 1,001 cabaran dan tentangan.
Ada yang kongsikan tangkap layar komen yang sebut “ambik Wan Azizah jadi setiausaha agung PKR” yang kepada saya adalah bahan lelucon kepada pemimpin saya, Wan Azizah atau Kak Wan. Saya tersinggung.
Pada masa yang sama di mana Abdullah Sani, Samsul Iskandar, Rizal Jamin? Kenapa tak pertahankan penghinaan sebegini? Di mana juak-juak anda? Anda bertanggungjawab untuk mempertahankan nama baik pemimpin kami, baik Kak Wan baik perdana menteri Malaysia? Jangan bersikap lempar batu sembunyi tangan.
Ya, saya berang dan saya keliru.
Saya berang kerana kita buat apa yang kita kritik dahulu dan berang kerana sewenangnya mengheret kepada kontroversi. Saya keliru kerana jurus politik apakah yang dimainkan ini?
Ada yang memberitahu saya - saya tidak percaya - tetapi saya kongsikan untuk memahami betapa hodohnya kenyataan sebegini bahawa oleh kerana setiausaha politik kanan (Samsul) juga keluar kenyataan yang sama serta yang lain sebenarnya ia datang dari Anwar! Dalam kata lain, Anwar iaitu (bagi mereka yang lupa) merangkap Presiden PKR yang suruh!
Tidak sebesar zarah pun saya percaya apatah lagi beriman dengan khabar angin sebegini akan tetapi inilah yang berlaku. Sekali lagi nama baik Anwar dicemari oleh ketidakcermatan dan cemerkap serta kerana punya jurus politik tingkat tinggi ala Naruto!
Mari kita bayangkan:
Senario 1: Nurul Izzah menang. Kemenangan ini akan menyemarakkan serangan terhadap presiden (dan Wan Azizah) dengan ejekan nepotism, refamily, KKN dan lain-lain yang jorok dan buruk.
Senario 2: Nurul Izzah tewas. Maka akan ada suara-suara yang bakal menyebut kekalahan itu bererti referendum kepada Anwar yang telah kehilangan pengaruh dan kemudian desakan supaya letak jawatan. Malah di kalangan parti-parti sahabat tentunya akan kehilangan air muka juga.
Inilah yang disebut dalam peribahasa ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Soalan saya, siapa yang mahu bertanggungjawab? Siapa yang mahu bangkit pertahankan (dan mengembalikan kreadibiliti Anwar dan Wan Azizah)?

Sekali lagi saya ulangi, gesaan melalui kenyataan media beberapa orang rakan-rakan pemimpin kita ini, langsung saya tidak percaya dengan restu atau dengan istilah lunak, permintaan Anwar; malah saya cenderung mempercayai baik Anwar mahupun Kak Wan tidak punya sebarang pengetahuan. Malah besar kemungkinan Nurul Izzah pun tak tahu.
Dalam mana-mana organisasi, disiplin itu sangat penting. Kita boleh tidak bersetuju dengan mana-mana pemimpin sesama kita akan tetapi tertib organisasi itu penting sepertimana penting espirit d’corp atau semangat setiakawan.
Saya tarik ingatan kepada peringatan melalui perutusan oleh Anwar pada bulan Mei 2018 ketika mahu menghadapi pilihan raya umum terkait keresahan Dr Mahathir Mohamad bersama kita:
“Saya, Azizah dan sekeluarga tidak menafikan keresahan awal, namun pertimbangan - faaslihu baina akhawaikum - (sebab itu, perbaikilah (damaikanlah), hubungan antara kedua saudaramu - Al-Hujurat Ayat 10) dan kepentingan negara dan rakyat mengatasi semua perkiraan lain.”
Mari kita bertanding di dalam sayembara ini dengan damai kerana kita semua rakan seperjuangan.
AHMAD NIZAM HAMID ialah seorang peguam yang berpejabat di Temerloh, Pahang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

