malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Orang kanan Anwar sokong Nurul Izzah sebagai timbalan presiden PKR
Diterbitkan:  May 6, 2025 4:41 PM
Dikemaskini: 8:41 AM
ADS

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, menjadi pemimpin politik terbaru yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2025–2028.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shamsul yang juga Ketua Cabang Hang Tuah Jaya bersama empat lagi ketua cabang PKR dari Melaka — Alor Gajah, Tangga Batu, Jasin dan Kota Melaka — menyuarakan harapan agar pencalonan Nurul Izzah mendapat sokongan padu daripada seluruh anggota parti.

Mereka juga menyifatkan langkah ini sebagai permulaan kepada kebangkitan baru parti dalam menghadapi cabaran semasa serta membina masa depan negara.

"Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan PKR. Sejak awal, beliau telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara, serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi," menurut kenyataan bersama itu.

Mereka turut menggariskan pengalaman Nurul Izzah sebagai bekas Naib Presiden PKR, Ahli Parlimen selama dua penggal, serta penglibatan aktif dalam masyarakat — termasuk disenaraikan baru-baru ini dalam 'Project Syndicate Forward Thinkers List' sebagai antara 30 individu berpengaruh — sebagai faktor yang menambah kredibiliti dan kekuatan kepimpinannya.

"Pencalonan beliau bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan, tetapi soal masa depan PKR sebagai sebuah parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat. Dalam dunia politik yang dinamik, kita memerlukan pemimpin yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baru – seorang pemimpin yang membawa nilai kesederhanaan, berprinsip, progresif dan berwawasan," kata mereka," jelas kenyataan itu lagi.

Tambah mereka, Nurul Izzah memiliki semua ciri kepimpinan tersebut.

"Dia mampu menyuntik nafas baharu dalam PKR, memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, dan terus membawa obor perjuangan ke arah sebuah negara yang lebih adil, stabil dan inklusif," tambahnya lagi.

Sebelum ini, Ketua Cabang PKR Tapah, Azam Afandi turut menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai timbalan presiden PKR.

Pemilihan PKR bagi jawatan di peringkat pusat dijadualkan berlangsung pada 22, 23 dan 24 Mei ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatannya, atas alasan mahu mengelakkan perpecahan dalaman selepas Presiden parti, Anwar Ibrahim, mengekalkan kedudukannya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang dikatakan akan mencabar Rafizi, masih mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman hari ini pula mencadangkan agar Rafizi memberi laluan kepada Saifuddin.

Syed Badli yang juga bekas pegawai kanan kepada bekas Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyifatkan Saifuddin sebagai tokoh berpengalaman yang telah melalui pelbagai fasa jatuh bangun bersama parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen