malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Salleh: Jangan biarkan politik perkauman bertapak di Sabah
Diterbitkan:  May 6, 2025 1:05 PM
Dikemaskini: 5:19 AM
ADS

Bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak hari ini tampil dengan mesej jelas dan tepat pada masanya: politik perkauman - yang terus mendominasi naratif di Tanah Melayu - tidak seharusnya dibiarkan bertapak di Borneo.

Kenyataannya itu dikeluarkan ketika perbalahan politik yang semakin meningkat di Malaysia Barat, dengan para pemimpin terlibat dalam perdebatan sama ada identiti kaum atau perpaduan nasional harus diutamakan.

“Apabila membaca tentang isu perkauman di Malaysia Barat, seseorang pasti tertanya-tanya - mengapa masalah seperti itu masih berterusan selepas lebih 60 tahun kita merdeka?” kata pemimpin Umno itu dalam satu catatan di media sosial.

Salleh menegaskan bahawa di negeri-negeri Malaysia Timur, masyarakat pelbagai latar belakang etnik hidup dalam harmoni.

“Kadazan, Dusun, Rungus, Bajau, Suluk, Irranun, Murut, Cina, Bugis, dan lain-lain membesar bersama, belajar di sekolah sama, dan meraikan perayaan masing-masing tanpa halangan.

"Agama di Sabah diamalkan dengan saling hormat-menghormati dan persefahaman.

“Masyarakat yang berbeza kepercayaan menyokong satu sama lain semasa perayaan agama dan budaya, dan keharmonian antara agama adalah sebahagian daripada kehidupan seharian," katanya.

Salleh berkata dalam politik wujud perbezaan parti dan sokongan, namun ia sepatutnya tidak memecahbelahkan masyarakat atau memutuskan persahabatan.

"Politik di Sabah lebih menumpukan kepada pembangunan dan keperluan rakyat - seperti peluang pekerjaan, jalan raya, pendidikan, dan akses kepada air bersih. Pemimpin datang daripada semua latar belakang dan berkhidmat kepada semua masyarakat.

“Tidak perlu mengulas secara terperinci tentang apa yang berlaku di tempat lain, tetapi satu perkara yang jelas isu perkauman sebegitu tidak seharusnya dibiarkan bertapak di Sabah,” katanya.

Sambil menyifatkan keharmonian dan perpaduan di Sabah sebagai "aset yang tidak ternilai", Salleh menekankan kepentingan menjaganya.

“Mari kita teruskan hidup dengan saling menghormati, tanpa mengira kaum, agama, atau fahaman politik,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyelar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, susulan kenyataannya yang menukar semula pendiriannya pada 2010 “Melayu dulu baru Malaysia” untuk menekankan bahawa gabungannya kini mewakili semua kaum.

"Allahuakbar benarlah kata orang, demi kuasa manusia berubah.

"Saya tetap Melayu dahulu sebelum Malaysia kerana itu bangsa saya yang tidak boleh diubah dulu, kini dan Insya-Allah selamanya," kata Akmal yang sentiasa lantang dalam isu berkaitan kaum dan agama.

Veteran DAP Lim Kit Siang, yang mencetuskan perdebatan "‘Melayu atau Malaysia terlebih dahulu” sejak sedekad lalu, kini telah menimbulkan dua soalan tambahan - kali ini berhubung perubahan ketara dalam perspektif Muhyiddin.

“Soalan pertama: Bilakah dia berubah daripada ‘Melayu terlebih dahulu, rakyat Malaysia kemudian’ kepada ‘rakyat Malaysia dahulu, Melayu kemudian’.

“Soalan kedua: Adakah dia bersedia memimpin satu kempen untuk menggesa semua rakyat Malaysia melihat diri mereka sebagai warga Malaysia dahulu, kaum kemudian?” soal Lim.

Polemik itu dihangatkan dengan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mempersoalkan sama ada Lim akan mengemukakan soalan "Melayu terlebih dahulu atau Malaysia" kepada kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen