Human Rights Watch (HRW) dalam laporan terbaru yang dikeluarkan semalam, mendakwa jauh di pedalaman hutan Bintulu di Sarawak, masyarakat Iban yang mempertahankan tanah nenek moyang mereka dilayan seperti penceroboh.
Laporan itu menyebut bahawa syarikat perkayuan mula bergerak ke tanah berkenaan dengan sokongan daripada kerajaan negeri Sarawak atas nama sebagai konsesi penanaman pokok.

Masyarakat Iban Rumah Jeffery, yang didokumentasikan dalam laporan HRW bertajuk, “Berdepan Jentolak: Penentangan Orang Asli Iban terhadap industri perkayuan di Sarawak, Malaysia”, tidak pernah memberi persetyjuan kepada kerja-kerja pembalakan di tanah adat mereka yang seluas 521 hektar, namun mereka menerima notis pengusiran pada Oktober 2022 daripada Jabatan Hutan Sarawak.
Arahan itu dikeluarkan selepas syarikat pembalakan gergasi Zedtee Sdn Bhd, sebahagian daripada konglomerat kayu Shin Yang, menuduh penduduk kampung "menceroboh", walaupun tanah berkenaan telah digunakan oleh masyarakat sejak turun-temurun.
“Layanan terhadap Rumah Jeffery oleh syarikat dan agensi kerajaan adalah antara contoh yang memperlihatkan bagaimana undang-undang dan dasar Sarawak melindungi kepentingan syarikat dan melucutkan hak penduduk asli dari wilayah dan sumber asli mereka,” kata laporan itu.
Rumah Jeffery digambarkan sebagai perkampungan kira-kira 60 masyarakat Iban yang menetap di rumah panjang sepanjang 40m di tebing Sungai Belawit, yang siap pada 2017.

Ia didirikan sebagai cawangan Rumah Mawang susulan kesesakan di kampung asal itu.
Perpecahan secara aman itu juga membawa kepada pembahagian wilayah pusaka yang sebelum ini dikongsi oleh semua penduduk Rumah Mawang, membolehkan penghuni Rumah Jeffery terus melaksanakan hak mereka ke atas tanah adat asal mereka.
Masyarakat ini, yang tidak menikmati kemudahan air paip, elektrik atau hak milik tanah yang menandakan pengiktirafan rasmi oleh kerajaan terhadap hak tanah adat mereka. Mereka telah berusaha untuk membatalkan perintah pengusiran dengan membuat rayuan kepada beberapa pejabat kerajaan, tetapi masih belum menerima maklum balas rasmi.
Gergasi pembalakan
Laporan HRW memberi amaran bahawa jika masyarakat Iban itu kehilangan tanah, mereka berisiko kehilangan seluruh cara hidup mereka.

Laporan itu mendedahkan bahawa wilayah nenek moyang Rumah Jeffery merangkumi kedua-dua pajakan yang Zedtee uruskan - hutan tanaman berlesen (LPF 0039) dan tapak pembalakan terpilih yang diperakui (Anap-Muput FMU T/4317).
Walaupun berlaku pertindihan, masyarakat Iban itu tidak diiktiraf secara rasmi oleh Zedtee atau agensi kerajaan, mahupun berunding secara bermakna sebelum tanah itu dibersihkan.
Sebaliknya, laporan itu mendokumenkan bahawa pendudukan lama Rumah Jeffery di wilayah berkenaan dipertikaikan oleh jabatan hutan sebagai "pendudukan haram dalam pajakan mereka".
Zedtee bukan pendatang baru di bahagian Bintulu ini. Pada 2008, kerajaan Sarawak memberikan syarikat itu lesen 60 tahun untuk menjalankan pembalakan terpilih di atas 83,535 hektar di Unit Pengurusan Hutan Anap-Muput di Tatau - kawasan kira-kira lapan kali ganda saiz Paris, kata laporan HRW itu.
Malaysiakini telah menghubungi Zedtee dan syarikat induknya, Shin Yang, untuk mendapatkan maklum balas terhadap dakwaan HRW tetapi belum menerima sebarang jawapan.

Carian pantas di laman web Zedtee mendedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Zedtee, Kueh Nai Chung dan pengarah Lim Lu Kiong mengisytiharkan dalam kenyataan dasar yang dikeluarkan pada Mei 2024, bahawa syarikat itu menghormati hak adat orang asli yang dikaitkan dengan konsesi hutannya.
Polisi itu juga menyatakan bahawa syarikat: "Menghormati hak penggunaan dan aktiviti mereka di kawasan melalui (a) proses persetujuan terlebih dahulu, bebas dan makluman".
Rumah Jeffrey tiada dalam senarai komuniti Zedtee.

