Washington mengenakan empat tuntutan kepada Malaysia sebelum bersetuju untuk mengurangkan tarif yang dikenakan negara itu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“AS bersetuju (untuk mengurangkan tarif) jika terdapat perjanjian mengenai isu-isu yang boleh dipersetujui oleh mereka.
"Dalam rundingan ini, ada situasi menang-menang. Kita perlu memberi dan menerima - ia perlu timbal balik," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sidang media itu diadakan selepas parlimen bertemu dalam sesi khas mengenai tarif pagi tadi.
Tengku Zafrul berkata permintaan itu merangkumi empat bidang iaitu defisit perdagangan AS dengan Malaysia, halangan bukan tarif, perlindungan teknologi dan pelaburan.
Berdasarkan data AS, katanya, negara itu mempunyai defisit perdagangan dengan Malaysia berjumlah AS$25 bilion atau RM105.25 bilion.
"Halangan bukan tarif termasuk - sebagai contoh - proses yang panjang bagi mendapatkan pensijilan halal," katanya.
Menjelaskan isu itu lebih lanjut, Tengku Zafrul berkata, perhatian Washington bukan mengenai pensijilan halal sebaliknya proses yang mengambil masa lebih lama daripada pensijilan lain.
Ketika menghuraikan permintaan AS untuk melindungi teknologi, Tengku Zafrul berkata, AS telah menekankan kepentingan teknologi berkenaan agar tidak digunakan oleh negara yang tidak dipersetujuinya.
"Itulah sebabnya mereka mempunyai pengeksportan pada cip, sebagai contoh.
"... mereka mahu memastikan negara seperti Malaysia, Singapura, dan Indonesia tidak membenarkan cip itu dihantar atau diseludup ke negara lain," tambahnya.
Bukan sekadar nak kurangkan tarif
Tuntutan terakhir, kata Tengu Zafrul, ialah untuk Malaysia melabur di AS dalam bidang yang mereka persetujui.
Katanya AS ingin Malaysia melabur di kawasan yang mereka mahu dan menyokong industri mereka. Dalam kes tersebut, tambahnya, memang Malaysia sudah melakukan pelabur yang besar.
“Hari ini, perdana menteri menyebut, malah syarikat berkaitan kerajaan sahaja, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan sahaja, hari ini telah melabur hampir AS$45 bilion (RM189.40 bilion) ke dalam pasaran bon dan ekuiti di AS,” katanya.
Pada 3 April, Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa semua import ke AS akan dikenakan tarif asas 10 peratus.
Mulai 9 April, AS akan mengenakan tarif yang lebih tinggi pada "separuh" jumlah yang dikatakan yang dikenakan oleh negara lain ke atas eksport AS.
Tindakan itu menyaksikan AS mengenakan "tarif timbal balik" sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia.

Tengku Zafrul berkata, objektif rundingan Malaysia dengan AS bukan sekadar untuk mengurangkan tarif, tetapi untuk menghapuskan sepenuhnya kekangan berkenaan.
Dia seterusnya mengulas mengenai perdagangan negara pada Mac yang dilihat tidak mampan dan tidak menjangkakan momentum itu berterusan.
Katanya jumlah itu disebabkan oleh syarikat yang ingin melepaskan stok atau menambah stok mereka sebelum tarif.
"Jadi saya tidak fikir angka yang anda lihat pada Mac merupakan suatu nombor rekod. Saya tidak fikir ia akan bertahan untuk masa hadapan.
"Jadi jawapan ringkas kepada soalan anda ialah, saya tidak fikir ia akan menjadi sekuat itu pada masa hadapan," katanya.
Pada 18 April lalu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata Mac tahun ini mencatatkan jumlah dagangan bulanan tertinggi.
"Jumlah dagangan meningkat 2.2 peratus (RM249.89 bilion).
“Ini dipacu oleh peningkatan 6.8 peratus dalam eksport (RM137.31 bilion), juga rekod tertinggi bagi Mac, manakala import turun 2.8 peratus (RM112.59 bilion).
"Lebihan dagangan, yang dicatatkan untuk bulan ke-59 berturut-turut, melonjak 94.4 peratus (RM24.72 bilion), tertinggi sejak Jun 2023," katanya.

