GLOBAL l Setiausaha Agung Amnesty International, Agnes Callamard menggesa semua pihak antarabangsa khususnya Kesatuan Eropah (EU) agar mengambil langkah tegas menghentikan tindakan genosid oleh Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, sama ada melalui serangan bersenjata mahupun dasar kebuluran yang menyebabkan wilayah itu kini “tanpa bekalan makanan.”
Callamard dalam satu kenyataan juga merayu agar semua pihak berkepentingan mendesak Israel membenarkan kemasukan makanan, air dan ubat-ubatan ke Gaza di samping memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap genosid dan jenayah perang dibawa ke muka pengadilan, lapor Agensi Berita Palestin Wafa.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin merosot di Gaza, berdasarkan pemerhatian dan pemantauan lapangannya terhadap konflik yang telah berlarutan selama 19 bulan.
Situasi itu semakin memburuk sejak Israel mengenakan sekatan menyeluruh ke atas wilayah Palestin bermula 2 Mac lalu.
Callamard turut menyifatkan bahawa situasi di Gaza kini adalah “genosid yang berlaku secara terang-terangan.”
“Kami tahu rakyat Gaza sedang berdepan kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan yang amat kritikal. Pertubuhan Makanan Dunia (WFP), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan semua agensi kemanusiaan serta badan PBB telah memberi amaran – Gaza kini benar-benar kehabisan bekalan makanan,” katanya.
- Bernama-Wafa

