Keputusan pemilihan peringkat cabang PKR yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini akhirnya diterima dengan baik oleh kepimpinan parti, termasuk mereka yang tewas dalam persaingan itu.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil memaklumkan keputusan tersebut dimuktamadkan selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengadakan mesyuarat, susulan dapatan audit dalaman dan luaran ke atas proses pemilihan itu.
Jelasnya, sistem rantaian digital (blockchain) yang digunakan tidak menyaksikan sebarang bukti pencerobohan, manipulasi data atau pun sebarang kecacatan kepada sistem pengundian elektronik.
“Integriti sistem adalah utuh (intact), tidak ada bukti gangguan daripada pihak luar atau pihak ketiga.

"Apa yang input (yang diterima) itulah yang dikeluarkan. Jadi, ini yang disampaikan semalam dan MPP PKR telah memutuskan bahawa kita bergerak kedepan, kita move forward dan ia telah dipersetujui oleh semua pihak.
"Memang menerima kemenangan atau kekalahan itu adalah sifat manusia sama ada kita gembira mahupun tidak.
“Tapi yang penting dalam semangat kita mendepani bukan hanya pemilihan di peringkat pusat tetapi juga bila tiba kongres nanti,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis pelancaran saluran digital "TV5 Free-to-Air" di ibu negara, hari ini.
Pemilihan PKR bagi peringkat cabang yang berlangsung dari 11 hingga 20 April itu menyaksikan beberapa insiden luar jangka, termasuk kekalahan ketua cabang dari kumpulan yang memenangi keseluruhan jawatankuasa, fenomena yang digelar “badan tanpa kepala”.
Mesyuarat MPP PKR tenang, harmoni
Antara tokoh yang terlibat termasuk Gan Ay Ling (Kangar), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Mohd Kamri Kamaruddin (Ampang), Chua Wei Kiat (Selayang), Rodziah Ismail (Shah Alam), dan Ginie Lim (Alor Gajah).
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa sebelum ini memaklumkan bahawa keputusan rasmi hanya akan dimuktamadkan selewat-lewatnya 5 Mei selepas meneliti semua bantahan.
Beberapa calon seperti Timbalan Menteri Peralihan Tenaga, Akmal Nasrullah (Johor Bahru), serta pimpinan lain seperti Lee Chean Chung, Chua Wei Kiat dan Kesavan Subramaniam telah mengemukakan bantahan rasmi kepada JPP susulan kekalahan mereka.
Walaupun begitu, Fahmi menegaskan perjalanan mesyuarat MPP semalam berlangsung dalam suasana tenang dan harmoni.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dilaporkan turut menghadiri mesyuarat malam tadi.
“(Perjalanan mesyuarat) Sangat baik. Sangat tenang. Langsung tak ada kekecohan. Saya fikir kita dah jumpa jalan terbaik. Sistem ini juga sangat bagus.
"Seperti yang dinyatakan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh dan pengarah pemilihan dalam mesyuarat,” kata Fahmi lagi.
Dia yang juga menteri komunikasi turut menekankan pentingnya semua pihak dalam parti bersatu semula untuk memastikan agenda kerajaan Madani dapat diteruskan sehingga akhir penggal.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi mengesahkan siasatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap gambar Jalur Gemilang tidak lengkap yang disiarkan dalam akhbar digital Sin Chew dan akaun Facebook Kwong Wah Yit Poh telah pun selesai.
“Bagi pihak SKMM kita telah selesai dan saya tidak mempunyai maklumat tambahan mengenai proses siasatan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau pun Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Jadi, kita serahkan kepada mereka untuk selesaikan siasatan tersebut,” katanya ringkas.

