PARLIMEN | Dua ahli Dewan Rakyat hari ini menggesa kerajaan menangguhkan dasar fiskal yang akan datang, seperti penarikan subsidi RON95 dan kenaikan tarif elektrik.
Berbahas semasa sidang khas parlimen mengenai tarif dikenakan AS, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan veteran DAP, Lim Guan Eng (PH-Bagan) menegaskan kebimbangan mereka terhadap beban kewangan yang ditanggung pengguna.
Dalam perbahasan mengenai perkara itu, Hamzah menyentuh kenaikan harga petrol RON95 - bahan api yang lebih biasa digunakan untuk kegunaan kenderaan harian - sebagai beban atas tarif yang dikenakan Washington.
“Saya menggesa kerajaan, jika boleh, agar kerajaan mengambil berat dan memandang serius kesan pelaksanaan tarif tersebut.
“Kita harus menangguhkan sebarang perubahan dasar terutama dasar fiskal negara kita yang boleh memberi tekanan kepada kos dan melemahkan sentimen perniagaan dan akhirnya membebankan pengguna.
“Saya nak bagi contoh mengenai kenaikan harga RON95 Julai ini (apabila subsidi menyeluruh ditarik balik), kerajaan akan ambil kira dan kalau boleh tangguh, kita tangguh.
"Sama juga dengan kenaikan tarif elektrik pada Julai," katanya.
Sementara itu Lim yang juga bekas menteri kewangan turut memberi penekanan yang sama dalam perbahasannya selepas Hamzah.
Kata Lim, ada kebimbangan besar sumbangan sektor industri kecil dan sederhana (IKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan menyusut sehingga 35 peratus jika langkah perlindungan tidak diambil kerajaan.
Bayan balik fleksibel
Dia juga menyatakan, ada beberapa langkah langkah fiskal yang boleh disyorkan bagi menangani isu berkenaan, termasuk menangguhkan pelaksanaan e-invois yang sepatutnya bermula Julai ini.
Pada 3 April lalu Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa semua import ke AS akan dikenakan tarif asas 10 peratus, manakala pada 9 April pula dia mengumumkan pelaksanaan tarif yang lebih tinggi pada "separuh" daripada jumlah yang diumumkan.
Tindakan itu menyaksikan AS mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia.
Kata Lim, selain menangguhkan pengapungan harga petrol RON 95, kerajaan juga harus mempertimbangkan cadangan menarik balik caruman 2 peratus ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing.

Dia juga menggesa Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar polisi semalaman kepada 2 peratus berbanding 3 peratus sekarang.
“Memandangkan inflasi semakin terkawal, sasaran utama harus ditumpukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Turut disarankan Lim ialah pakej rangsangan ekonomi yang disasarkan kepada pihak yang kehilangan pekerjaan akibat tarif AS.
"Sektor perbankan juga harus menyediakan pembayaran fleksibel bagi pinjaman," katanya.
Dia seterusnya mencadangkan agar semua pelabur - sama ada tempatan atau antarabangsa - disyaratkan untuk membeli sekurang-kurangnya 50 peratus barangan tempatan.
Kata Lim banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengadu yang pelabur asing yang memenangi bidaan kerajaan atau swasta hanya membeli barangan dari negara asal mereka.
“Perkara yang sama penting ialah melindungi peniaga tempatan daripada lencongan perdagangan terutama lambakan produk oleh negara yang disekat daripada memasuki pasaran AS seperti China.
“Penguatkuasaan mencegah lambakan barangan perlu dipertingkatkan supaya industri tempatan tidak dibanjiri barangan asing yang murah sehingga peniaga tempatan terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menjual barangan mereka,” katanya.

