malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM Pakistan tangguh lawatan ekoran insiden di Kashmir
Diterbitkan:  May 5, 2025 11:16 AM
Dikemaskini: 3:58 AM
ADS

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menangguhkan lawatan rasminya di Malaysia yang dijadualkan pada Jumaat ini susulan ketegangan yang timbul kesan serangan di Kashmir baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, , Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dimaklumkan oleh Shehbaz melalui panggilan telefon semalam.

"Saya memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu," katanya.

Anwar berkata dia turut menyatakan kesediaan Malaysia memainkan peranan ke arah meredakan ketegangan sekiranya diperlukan.

Perdana Menteri berkata hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau.

Menurut Anwar, Shehbaz turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara serta mengutarakan hasrat untuk mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman yang sedang dirunding dan menegaskan komitmen Malaysia untuk menyegerakan urusan tersebut.

"Insya-Allah apabila keadaan mengizinkan, kita akan menyambut Perdana Menteri Shehbaz di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram," katanya.

Serangan tembakan yang meragut 26 nyawa di kawasan pelancongan Pahalgam, Kashmir pada 22 April lalu menimbulkan ketegangan di antara India dan Pakistan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen