Ketua Penerangan Hulu Langat Bersatu, Shafiq Halim bersama beberapa NGO mendesak SPRM menyiasat pemberian konsesi kepada syarikat yang kini mengendalikan Menara Kuala Lumpur.
Pada sidang media di luar mercu tanda negara itu, mereka mempamerkan gambar didakwa pengerusi bukan eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), Lim Ken Cheng bersama beberapa pemimpin utama kerajaan.
Mereka juga mendakwa gambar tersebut antaranya memaparkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, serta dua tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Shafiq mendakwa gambar tersebut diambil sebelum perjanjian ditandatangani bagi membolehkan LSHSM mengambil alih pengurusan Menara KL.

“Kami mahu SPRM masuk dan siasat pemberian konsesi ini. Kami juga minta menteri yang bertanggungjawab dedahkan lima syarikat lain yang turut membida Menara KL.
"Kita nak meminta supata pihak SPRM untuk masuk dan menyiasat penganugerahan ini dan kita minta juga supaya menteri mendedahkan apa lagi lima senarai company yang masuk membida untuk Menara KL ni,” katanya.
NGO yang hadir sidang media hari ini, termasuklah Negarawati Tanahair, Sekretariat Pemerkasaan Pemilikan Strategik Bumiputera (Sepatra), Sekretariat Gabungan NGO IKHLAS Malaysia, Himpunan Aman Satu Juta Rakyat Malaysia, dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
Sebelum acara bermula, pengarah urusan bekas pengendali Menara KL, Hydroshoppe Sdn Bhd, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, memberitahu Malaysiakini bahawa acara petang itu tiada kaitan dengan syarikatnya.

Hydroshoppe tidak merestui penganjuran acara tersebut, jelasnya.
Hydroshoppe dan anak syarikatnya, Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kini sedang menyaman kerajaan sebanyak RM1 bilion atas dakwaan penamatan kontrak konsesi secara salah.
Sebelum ini, Abdul Hamid Shaikh didakwa pada 5 April 2023, dengan tuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Annuar Musa menerusi Tan Ser Lay.
Ia sebagai dorongan kepada menteri komunikasi ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022 mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sementara itu, Shafiq pada sidang media hari ini turut menyoal mengapa pemberian konsesi baru Menara KL itu berlaku ketika pemilihan dalaman PKR sedang berlangsung.
“Perjanjian konsesi ini ditandatangani semasa pemilihan PKR. Jadi kami ingin tahu, kenapa perkara ini berlaku terlalu hampir dengan pemilihan tersebut? Adakah ia ada kaitan dengan sumber kewangan dan sebagainya?
“Jadi SPRM mesti siasat dan jika ada unsur rasuah, tindakan tegas mesti diambil,” tegasnya lagi.

Shafiq menekankan isu yang dibangkitkan mereka bukan soal kaum, tetapi soal integriti.
Peguam Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali (gambar atas) yang turut hadir sidang media hari ini pula berkata perjanjian konsesi baru itu bercanggah dengan janji PH sebelum membentuk kerajaan.
Menurutnya, PH sebelum ini berjanji untuk tidak menjual negara.
"Mereka selalu melaung-laungkan bahawa mereka tidak akan menjual Malaysia, they will not sell it and become a corporate Malaysia.
"Tapi akhirnya kita sampai di satu tahap di mana kita melihat bahwa mereka-mereka yang ada kaitan dengan korporat sekarang mendapat tempat.

"Walaupun kerajaan ini dulu menyatakan bahawa mereka akan memastikan rakyat terbela, rakyat terjaga dan sebagainya tetapi masih ada lagi political patronage (naungan politik) seperti ini yang berlaku dalam negara ini,” dakwanya.
Hydroshoppe bersama MKLSB menuntut ganti rugi daripada Putrajaya atas dakwaan penamatan perjanjian mereka secara tidak sah pada November 2022. Perjanjian tersebut sebelum itu telah dilanjutkan dari 15 tahun kepada 30 tahun.
Ini susulan keputusan kerajaan pada Mei tahun lalu untuk menyerahkan konsesi pengurusan Menara KL kepada LSHSM.
LSH Service Master merupakan usaha sama antara dua syarikat — LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.
Untuk rekod, MKLSB yang sebelum ini dimiliki sepenuhnya oleh Telekom Malaysia Berhad (TM), bertanggungjawab membina dan mereka bentuk Menara KL yang dibuka kepada orang awam pada 1996.
MKLSB telah menjadi pengendali tunggal Menara KL di bawah kontrak konsesi kerajaan yang diperbaharui setiap 15 tahun.

