Seorang pemimpin Pemuda MCA membidas Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, berhubung cadangannya supaya parti komponen BN itu dibubarkan dan diserap masuk ke dalam DAP.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, Chong dari DAP tidak layak bercakap tentang BN.
Dia sebaliknya mempersoalkan janji yang dibuat DAP terhadap masyarakat Cina selepas parti itu mendakwa MCA tidak lagi mewakili kepentingan kaum itu.
"Zhemin kata MCA bukan lagi mewakili masyarakat Cina. Jadi saya cabar Zhemin beritahu orang Cina, sama ada janji DAP untuk iktiraf UEC sudah dilaksanakan atau belum, setelah lebih dua tahun menjadi kerajaan?
"Adakah janji untuk pajakan tanah 999 tahun sudah ditunaikan atau tidak?” soal Pengarah Komunikasi Pemuda BN itu dalam satu kenyataan.
Terdahulu hari ini, Chong berkata bukan Umno yang patut dibubarkan, sebaliknya MCA yang harus menyerahkan dua kerusinya kepada Umno dan menyertai DAP.
Ahli parlimen DAP itu berkata, cadangan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin agar Umno dibubarkan dan diserap ke dalam Bersatu lebih sesuai ditujukan kepada MCA.

"MCA sudah tidak lagi mewakili masyarakat Cina. Jadi saya menyeru MCA supaya serahkan kembali dua kerusi tersebut kepada Umno dan ambil langkah berani untuk bubar parti serta menyertai DAP, demi masa depan negara dan perjuangan nilai kemajmukan, keadilan dan kemajuan,” kata Chong.
Mengulas lanjut, Neow menegaskan bahawa tidak mungkin MCA akan menyertai DAP walaupun kedua-dua parti itu kini berada dalam kerajaan.
"Mana mungkin MCA sertai DAP. Bagai minyak dan air. MCA parti moderat iaitu parti yang mengamalkan kesederhanaan dan meraikan kepelbagaian, bukannya ekstrem yang tergamak menggunakan sentimen perkauman semata-mata mahu meraih sokongan.
"Kami tak sanggup nak gelar penyatuan ummah menerusi kerjasama Umno-PAS sebagai 'isyarat perang ke atas bukan Islam atau bukan Melayu', mahupun menyifatkan ia sebagai 'negara Taliban'.
"Kami tak sanggup nak karang buku propaganda dengan menaikkan imej mahupun mempromosikan ideologi komunis. MCA adalah parti yang berjuang bersama Umno menuntut kemerdekaan negara dan semangat Barisan Nasional yang patriotik kepada Malaysia masih didukung sehingga kini," kata Neow.
Dia turut menggesa Chong menjawab dakwaan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, bahawa DAP telah menarik diri daripada pakatan Barisan Alternatif pada tahun 2001 selepas didakwa gagal menekan PAS supaya menggugurkan perjuangan Islam.

