Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata parti itu memenangi lebih banyak kerusi apabila tidak mengadakan kerjasama politik dengan DAP selepas keluar daripada Pakatan Rakyat.
Malah katanya, PAS kini memiliki lebih banyak kerusi berbanding Umno dan DAP.
"Dulu kami bersama DAP dalam Pakatan Rakyat memang dapat sokongan undi banyak tapi bila keluar dan bersama PN (Perikatan Nasional), kerusi PAS lebih banyak lagi. Sudah bertambah.
"Itu ukuran, bersama dengan siapa kami lebih berjaya," katanya kepada pemberita dalam Festival Perpaduan India anjuran Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam.
Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, yang mendakwa PAS tidak boleh bergerak ke hadapan selepas memutuskan hubungan dengan DAP.
Khaled berkata, atas sebab itu PAS seperti cemburu apabila melihat DAP selaku bekas rakannya itu kini berbaik dengan BN.
"PAS sepertinya tidak boleh 'move on' selepas berpisah dengan DAP.
"Demikian menebal cinta PAS pada DAP sehingga membuak cemburunya pada siapa jua yang cuba berkawan dengan jandanya," kata Khaled dalam hantaran di Facebook.
Untuk rekod, PAS kini merupakan parti yang memiliki jumlah kerusi Parlimen tertinggi iaitu sebanyak 43 kerusi, berbanding DAP (40) dan Umno (26).
PAS keluar Pakatan Rakyat
Pakatan Rakyat, yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, menggabungkan PAS, DAP dan PKR sebagai blok pembangkang utama ketika itu.

Namun, kerjasama itu mula retak apabila perbezaan ideologi antara PAS dan DAP semakin ketara.
Ketegangan memuncak apabila DAP secara terbuka mengisytiharkan parti itu tidak lagi boleh bekerjasama dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Pada Jun 2015, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP, sekali gus menamatkan riwayat Pakatan Rakyat.
PAS kemudiannya menubuhkan blok pembangkang baru bersama beberapa parti lain, sebelum menyertai PN secara rasmi selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020.
Mengulas kekalahan PAS di DUN Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak, Takiyuddin berkata adalah tidak adil menjadikan keputusan itu sebagai ukuran kelemahan parti.
"DUN Ayer Kuning adalah 'putih'. Kubu kuat Umno. Tapi di PRN DUN Sungai Bakap kami mampu pertahankan kerusi…tiada masalah pun," katanya.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin menjelaskan penolakan PAS terhadap cadangan Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA) bukan bersifat emosi atau bermotifkan politik.
"Bantahan dibuat kerana akta berkenaan bercanggah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pengambilan Tanah 1960. Kita menentang kerana ia bercanggah dengan perlembagaan," katanya.