Pihak polis mengesahkan telah menerima notis daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung rancangan mereka untuk mengadakan bantahan pada Selasa ini berhubung peraturan yang mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Aidi Sham Mohamed, pihaknya akan meneliti notis tersebut mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Kami juga akan memanggil penganjur untuk berbincang, sebagai sebahagian daripada proses tersebut," katanya kepada Malaysiakini.
Ketika ditanya sama ada pihak polis akan memberi kerjasama kepada perhimpunan itu, yang dirancang bermula di Kementerian Kesihatan sebelum berarak ke Pejabat Perdana Menteri, Aidi Sham berkata pihaknya masih meneliti perkara berkenaan.
Dilaporkan bahawa MMA menganjurkan demonstrasi berkenaan bagi membantah langkah kerajaan menguatkuasakan arahan baru yang mewajibkan fasiliti kesihatan swasta mempamerkan harga ubat-ubatan.
Arahan tersebut — yang akan dikuatkuasakan bersama oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup — menetapkan bahawa klinik dan farmasi perlu mempamerkan harga ubat, sama ada melalui senarai fizikal atau digital.
Presiden MMA, Dr Kalwinder Singh Khaira, mendakwa Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu pertemuan bersama pengamal perubatan pada Februari lalu, memberi jaminan bahawa dasar itu hanya akan dilaksanakan selepas semakan semula caj pengamal perubatan am dibuat.
"Malangnya, komitmen ini tidak ditepati," katanya seperti dilaporkan.

