malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda Umno: Kami tak peduli, takkan kompromi demi 3R
Diterbitkan:  May 2, 2025 4:25 PM
Dikemaskini: 8:25 AM
ADS

Pemuda Umno hari ini membidas P Ramasamy kerana menyalahkan parti itu dengan dakwaan mendominasi isu perkauman sehingga pengaruh dua parti komponen dalam BN – MCA dan MIC – merosot.

Ketua Pemuda Umno Malaysia Dr Akmal Saleh berkata parti itu tidak pernah beretorik dalam usahanya memperjuangkan agenda agama, bangsa dan raja-raja Melayu.

Tegasnya Umno memang tidak mahu berkompromi dalam isu membabitkan tiga elemen berkenaan tanpa mempedulikan dengan siapa mereka berkawan, berbeza dengan pihak lain.

"Umno tidak pernah beretorik mengenai agenda agama, bangsa dan raja-raja Melayu. Bukan seperti pemikiran kamu yang hanya menunggang untuk meraih undi

"Bagi kami, tiada kompromi mengenai agama, bangsa dan raja-raja Melayu waima dengan siapa pun kami berkawan.

“Itu bezanya Umno dengan parti lain," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Mengiringi hantaran tersebut ialah tangkap layar laporan Malaysiakini menyenai kenyataan Ramasamy.

Dalam laporan itu Ramasamy yang juga pengerusi penaja Parti Bersatu Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai) menyifatkan tindakan Umno – yang menurutnya berlepas tangan berhubung kemelut yang dihadapi MCA dan MIC – sebagai tidak jujur.

Ia susulan kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi yang menasihatkan MCA agar kekal sebagai “rakan setia” dalam BN.

Mohd Puad juga berkata, rasa tidak puas hati yang diluahkan oleh kepimpinan MCA tidak seharusnya membawa kepada tindakan menyalahkan BN atau menarik diri daripada gabungan itu.

Menurut Ramasamy dominasi Umno terutamanya dalam soal kaum dan agama telah menghakis pengaruh kedua-dua parti sekutu Umno dalam kalangan kaum lain.

“Apabila Umno mengejar agenda etnoagama yang sempit, ia mewujudkan iklim politik apabila MCA dan MIC bergelut untuk mengekalkan kredibiliti dalam komuniti masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal berkata Umno tidak mempunyai masalah jika ada pihak tidak menyokong parti itu hanya kerana mempertahankan agama dan hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

"Jika mempertahankan Islam dan Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan yang menyebabkan kamu tidak mahu menyokong Umno, silakan, kami pun tidak kisah.

"Ini negara yang agama persekutuannya ialah Islam dan hak-hak orang Melayu termaktub di dalam perlembagaan.

“Maka tolong hormat perkara tersebut sebelum mahu kami hormat kamu," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen