Penarikan diri syarikat minyak AS, ConocoPhillips, daripada projek minyak dan gas laut dalam di luar Sarawak akan membuka peluang lebih baik kepada negeri itu kepada kata Adun Batu Kitang, Lo Khere Chiang.
Bahkan dia yakin akan ada syarikat lain yang datang untuk mengisi kekosongan tersebut.
Lo dilaporkan berkata, tindakan syarikat itu menarik diri tidak seharusnya dilihat sebagai satu langkah ke belakang sebaliknya patut dianggap peluang bagi Sarawak untuk mengawal masa depan ekonominya dengan lebih baik.
Menurut Lo, ConocoPhillips juga boleh keluar dari projek berkenaan kerana ia masih dalam peringkat kebolehlaksanaan.
"Inilah sebabnya mengapa ConocoPhillips boleh keluar daripada usaha sama dengan Petronas pada ketika ini. Bagaimanapun, pintu kepada pelaburan masa depan di Sarawak tidak ditutup.
"Ia boleh terus terbuka untuk ConocoPhillips terlibat semula, kali ini dengan Sarawak yang diwakili syarikat Petros (Petroleum Sarawak Bhd) dan dengan syarat yang lebih adil untuk Sarawak," katanya dalam satu kenyataan dan dipetik The Borneo Post.
Jika firma AS itu memilih untuk berundur, Lo menambah, pelabur lain akan datang kerana Sarawak mengekalkan persekitaran pelaburan yang terbuka dan adil.
Laporan Upstream Online pada 15 April menyatakan ConocoPhillips secara senyap-senyap meninggalkan usaha samanya dengan Petronas dalam usaha mencari gali minyak Salam-Patawali dalam projek bernilai RM13.7 bilion (AS$3.13 bilion) di kawasan yang ditemukan pada 2018 itu.
Dua sumber industri yang rapat dengan syarikat itu juga mengesahkan laporan tersebut, kata CNA.
Menurut laporan itu, pemain industri membayangkan keputusan tersebut juga didorong oleh ketidaktentuan peraturan berpunca daripada ketegangan hubungan di antara Petronas dan kerajaan Sarawak pimpinan Primere Abang Johari Openg.
Lo – yang merupakan Adun Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) – mencadangkan agar sebarang usaha akan datang perlu dilakukan dalam bentuk perkongsian keuntungan 50:50 dengan negeri itu.
Kerajaan persekutuan, katanya, mungkin diperuntukkan "lima peratus" – merujuk kepada peratusan bahawa Putrajaya telah membayar Sarawak sebagai bayaran tunai daripada hasil minyak dan gasnya di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

