Umno dan BN Sabah disaran segera memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan PH serta parti-parti tempatan yang berminat bekerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir, berkata MoU itu penting bagi mengelakkan berulangnya episod pengkhianatan politik, apabila ada pemimpin yang bertindak berpaling tadah selepas pilihan raya.
Menurutnya, cadangan ini dibuat memandangkan masih wujud kelompongan dalam Akta Anti Lompat Parti yang mula dikuatkuasakan pada 2022.
"Kalau boleh perjanjian yang kena stamping (bertulis), kalau boleh.
“Ini kerana terlampau banyak permainan (dalam politik Sabah) dan sangat dinamik. Sebab itulah masalahnya ada kelompongan dalam akta anti-lompat parti,” katanya dalam satu pertemuan bersama media di ibu negara, Selasa lalu.
Suhaimi turut menjelaskan bahawa walaupun kerjasama terjalin antara BN dan PH, gabungan parti dalam kedua-dua blok itu menjadikan kedudukan tidak stabil sekiranya ada individu yang melompat menyokong pihak lawan.
"Contohnya macam kita bekerjasama antara BN-PH tetapi apabila dalam PH itu ada beberapa parti dan dalam BN pun ada beberapa parti, kalau dia lompat menyokong (parti) sebelah, hilanglah majoriti” jelasnya.
Suhaimi turut merujuk kes melibatkan Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan; Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali; dan Ahli Parlimen Sipitang, Matbali Musah sebagai contoh realiti politik yang sedang dihadapi.
Dia menegaskan, Umno Sabah mencadangkan langkah ini bagi mengelak insiden sama berulang dan memastikan kestabilan kerajaan negeri selepas PRN nanti.
“Umno ini cukup baik, dia terlalu mempercayai mana-mana parti tapi dalam masa yang sama (isu) tikam belakang ini macam di Sabah sudah beberapa kali (berlaku), terutama sekali BN pernah ditikam pada tahun 1986, 1994 dan 2018 pun kena juga. (Tahun) 2020 pun kena dengan GRS,“ katanya.
Pada tahun 2020, Umno Sabah bekerjasama dengan PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di bawah gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menghadapi PRN ke-16.

Kerjasama itu membawa kepada kemenangan GRS dalam PRN tersebut dan Hajiji Noor dari Bersatu dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah, walaupun ketika itu Umno mempunyai jumlah kerusi yang agak besar dalam kalangan komponen.
Keputusan ini menjadi salah satu punca rasa tidak puas hati dalam Umno Sabah kerana walaupun menang banyak kerusi, parti itu tidak diberikan peranan utama dalam kerajaan negeri.
“Sepatutnya siapa yang menjadi tunjang kerajaan pada 2020? Siapa banyak kerusi? Kita banyak kerusi tapi jadi 'second man'.
“Apabila pembentukan kerajaan, jawatan-jawatan telah dibahagikan pun kita masih menjadi pilihan kedua. Kerana kuasa itu terletak pada mereka iaitu PN selaku (kerajaan) pusat,” kata Suhaimi.
Justeru katanya, PRN 17 memerlukan persefahaman jitu antara gabungan parti bagi mengelakkan pengkhianatan.
“Lebih baik kita jalan dengan musuh di depan daripada kita berjalan bersama, tetapi ada musuh dari belakang. Itu yang kita takut berlaku kerana sudah berkali-kali (dikhianati)," katanya.
Tidak dibincangkan dalam mesyuarat MKT
Malaysiakini semalam difahamkan satu mesyuarat antara pemimpin tertinggi Umno Sabah diadakan bagi membincangkan isu terkait PRN negeri itu dan hasilnya dibawa untuk perhatian mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi bagi diputuskan.
Bagaimanapun, beberapa ahli MKT Umno yang ditemui dilihat mengunci mulut berhubung perkara itu.
Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad ketika ditemui media berkata isu berkenaan tidak dibincangkan.
“Tidak ada bincang (kerjasama BN-PH di Sabah), kita hanya mesyuarat biasa,” katanya ringkas kepada media selepas mesyuarat MKT Umno di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.
Sementara itu seorang lagi Ahli MKT Umno, Sharkar Shamsudin yang ditemui berkata tidak timbul keperluan untuk berbincang tentang kerjasama BN-PH di Sabah.
“Kita dengan PH ini memang dah bekerjasama, tak akan kita kerjasama di sini (peringkat pusat) tapi tak bekerjasama di (peringkat negeri) Sabah.
“Memang itu spirit (semangat) dia bahawa kita dengan PH di semua pilihan raya kita dah bekerjasama.
"Pilihan raya negeri pun kita kerjasama, pilihan raya negeri Sabah ini mesti kita kerjasama. Tak timbul isu kena bincang semula. Kita kekal bekerjasama,” katanya.

