Pemuda PAS Malaysia mendesak kerajaan segera mengharamkan sepenuhnya penjualan atau penggunaan vape di seluruh negara sebagai langkah melindungi generasi muda daripada bahaya penyalahgunaan bahan terlarang.
Naib ketuanya, Hanif Jamaluddin, berkata langkah tersebut sudah dilaksanakan kerajaan Terengganu dan akan mula berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Menganggap langkah kerajaan negeri itu sebagai berpandangan jauh, Hanif berkata, ia juga sekali gus melindungi generasi muda daripada kesan negatif penggunaan vape.
“Kami menggesa kerajaan persekutuan mengambil langkah lebih berani dengan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape di seluruh negara," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam kenyataan itu juga Hanif berkata, Pemuda PAS mahu kerajaan segera melakukan pindaan undang-undang agar cecair vape dimasukkan dalam Akta Racun 1952, selain membawa semula usul Rang Undang-undang Generasi Penamat Rokok (GEG) ke parlimen.
Katanya, Pemuda PAS juga menyokong usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperketatkan pengawasan penggunaan vape, termasuk dalam kalangan pelajar dan golongan muda.
Menurut Hanif, maklumat daripada Pusat Racun Negara mendakwa cecair vape mengandungi bahan sintetik berbahaya seperti ketamin, phencyclidine dan amphetamine.
Bahan-bahan itu, katanya, berisiko tinggi untuk menyebabkan keracunan serius serta boleh membawa maut.
Katanya, kebimbangan orang ramai terhadap penggunaan vape adalah berasas memandangkan laporan terkini menunjukkan bahawa cecairnya mengandungi pelbagai jenis dadah sintetik.
“Lebih membimbangkan, AADK melalui 50 kajian kes mendapati, apa yang didakwa sebagai magic mushroom sebenarnya merupakan ganja sintetik yang diproses dalam bentuk cecair dan disalahgunakan melalui peranti vape,” katanya.
Sebelum ini KKM menyatakan mereka sedia menyemak semula pelaksanaan dasar GEG berkaitan undang-undang kawalan produk rokok.

