malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Parti Sosialis Malaysia (PSM) yakin penembusan ketara yang dicapai dalam pertaruhan kedua kerusi DUN Ayer Kuning berpotensi menjadi lebih baik lagi jika bilangan orang muda keluar beramai-ramai mengundi.

Calon parti itu, Bawani KS berkata, walaupun PSM tewas pada pilihan raya kecil (PRK) semalam, dia tetap teguh dengan kepercayaan bahawa rakyat, terutama generasi muda mencari suara alternatif.

"Pengundi yang lebih muda, mereka yang mencari kuasa ketiga politik.

"Malangnya, dengan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah, terutamanya di kalangan pengundi muda, (keinginan) itu tidak dapat dilihat sepenuhnya dalam undi yang kami perolehi.

“Laporan sebelum ini menunjukkan bahawa 46 peratus pengundi Ayer Kuning berumur 18 hingga 39 bekerja di tempat lain di lebih banyak kawasan bandar, dengan 31,897 layak mengundi,” kata Bawani kepada Malaysiakini malam tadi sebagai reaksi segera terhadap kekalahannya.

Penelitian sebelum ini menunjukkan penurunan ketara peratusan keluar undi, dengan hanya kira-kira 58 peratus pengundi keluar, berbanding 74 peratus pada 2022 semasa pilihan raya umum.

Sementara pilihan raya kecil semalam menyaksikan PSM kehilangan wang depositnya buat kali kedua dalam persaingan kerusi tersebut, namun parti itu menunjukkan kemajuan yang ketara dari segi undi kepada calon mereka.

Dengan penambahan undi lebih dua kali ganda daripada 2.5 peratus kepada enam peratus manakala jumlah undi meningkat daripada 586 kepada 1,106, PSM turut meraih kelebihan di 18 daripada 20 pusat daerah mengundi.

Malah, PSM berjaya mendahului PN dalam saingan di tiga pusat daerah mengundi (PDM) PRK Ayer Kuning:

PDM Banir Utara

  1. Umno - 153

  2. PSM - 39

  3. PAS - 22

PDM Kampong Coldstream

  • Umno - 708

  • PSM - 66

  • PAS - 23

PDM Ayer Kuning Selatan

  • Umno - 346

  • PSM - 107

  • PAS - 31

Daya tarikan

Mengulas mengenai kemajuan ketara PSM dalam perebutan menentang gergasi BN dan PN, Bawani menekankan PSM nampaknya meraih sedikit daya tarikan di daerah yang kebanyakannya Melayu seperti Kampung Coldstream dan Kampung Raya.

“Kami melihat (prestasi yang bertambah baik) sebagai tanda bahawa kami memenangi sokongan orang ramai.

"Orang ramai masih mengundi berdasarkan parti mana seseorang calon dan bukannya melihat setiap calon secara individu, tetapi kami telah mula menunjukkan bahawa kami adalah kuasa ketiga yang kuat," kata timbalan setiausaha agung PSM itu.

Ketika ditanya mengenai masa depan parti itu di Ayer Kuning berikutan kekalahannya pada pilihan raya, Bawani memberi jaminan akan terus membantu penduduk yang memerlukan bantuan sebaik mungkin.

“Kami telah melakukan banyak kerja di sini dengan petani, pekerja kilang dan orang ramai daripada pelbagai komuniti.

"Ini kali ketiga saya kehilangan deposit pilihan raya, tetapi saya masih di sini untuk rakyat dan saya akan sentiasa - tidak kira sama ada PSM menang atau kalah (pilihan raya)," katanya.

Semalam, wakil BN Mohamad Yusri menang kerusi DUN Perak itu dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek dari PN yang mendapat 6,059 undi dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia yang meraih 1,106 undi.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, Ishsam meraih 9,088 undi menang dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi menentang calon PH Mohd Nazri Hashim (6,975 undi), calon PN Farid (6,812 undi), calon PSM (506) dan calon Pejuang Maziah Salim (105 undi).

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen