Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menegaskan bahawa negara itu tidak akan membenarkan campur aduk antara politik dan agama.
"Kami sentiasa mengambil pendirian tegas terhadap perkara ini. Pertama, ia akan memecah-belahkan ruang bersama yang kita kongsi sebagai rakyat Singapura.
"Kedua, jika pilihan raya menjadi pertandingan berdasarkan kepercayaan agama, semua komuniti dalam masyarakat kita akan menerima kesan buruk.
"Ketiga, kuasa luar akan mengambil kesempatan terhadap perpecahan ini untuk memenuhi agenda mereka sendiri. Dan seperti yang kita lihat, cabaran dan ancaman ini memang benar-benar wujud," katanya dalam satu sidang media hari ini.
Terdahulu, menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura dan Jabatan Pilihan Raya, kerajaan republik itu "mengenal pasti beberapa individu asing yang cuba mempengaruhi PRU" dan mengeluarkan "Arahan Pembetulan" kepada Meta untuk menyekat akses kepada posting mereka.
Tiga individu terbabit Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad, Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar dan seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Zulfikar Mohamad Shariff — seorang bekas warganegara Singapura yang kini menetap di Australia.
Pihak berkuasa Singapura itu dilaporkan berkata Zulfikar, yang melepaskan kewarganegaraan Singapura pada 2020, "telah menuduh beberapa ahli Parlimen Melayu-Muslim gagal mewakili kepentingan komuniti Muslim, dan mengatakan komuniti Muslim tempatan tidak memerlukan seorang Ahli Parlimen Melayu yang tidak mewakili pandangan mereka."
Pihak berkuasa Singapura juga mengatakan Sukri telah memuat semula posting Zulfikar.
Dua pemimpin PAS itu bagaimanapun menafikan tuduhan kerajaan Singapura yang mendakwa mereka cuba mempengaruhi pengundi republik itu menjelang PRU yang dijadualkan pada 3 Mei ini.
Sukri memberitahu Malaysiakini dia menghormati kedaulatan Singapura dan undang-undangnya, serta menegaskan dia tidak pernah cuba campur tangan dalam proses demokrasi negara itu.
Namun, dia mempertahankan hantarannya mengenai isu umat Melayu Islam di Singapura, mengatakan dia sekadar bersuara selaku insan prihatin.
Sementara itu, Iskandar Abdul Samad dalam kenyataan berasingan berkata dia terkejut terhadap tuduhan pihak berkuasa Singapura terhadapnya.
Pemimpin senior PAS itu berkata dia hanya memuat naik mengenai beberapa calon Muslim yang mengambil bahagian dalam pilihan raya, termasuk seorang calon daripada parti pemerintah PAP.
Mengulas lanjut, Wong berkata mencampuradukkan politik dengan agama tidak boleh diterima sama sekali di Singapura dan rakyat Singapura mesti dengan tegas menolak politik identiti.
Menurut Wong, politik identiti berbahaya jika satu kumpulan mendesak secara agresif untuk menegaskan identitinya, kumpulan-kumpulan yang lain juga akan memberi tindak balas.
“Anda boleh melihat bagaimana ini berlaku di negara-negara lain. Anda akhirnya menyemarakkan kecenderungan terburuk, permusuhan dan perasaan dendam dalam kalangan masyarakat. Tiada siapa yang menang jika ini berlaku.
“Kumpulan minoriti akan gagal dengan apa yang mereka mahu, kerana kumpulan majoriti akan menolak dengan kuat, dan kumpulan minoriti akan melihat bahawa ruang mereka akan lebih tersekat,” katanya.
“Pada masa sama, golongan majoriti juga akan hidup dalam masyarakat paling tidak bahagia, di mana setiap isu berpunca daripada kaum dan agama.
"Jadi, tiada siapa yang gembira, tiada siapa yang menang. Dan akhirnya, kita akan lebih berpecah daripada sebelumnya. Dan rakyat Singapura - kita semua - akan membayar harganya," tambah Wong.
Wong yang juga Menteri Kewangan Singapura turut mengingatkan rakyatnya bahawa perpaduan yang dicapai Singapura bukan diperoleh secara tidak sengaja tetapi hasil daripada "kerja keras dan usaha sabar oleh rakyat republik itu".
Sehubungan itu, Wong menggesa pemimpin semua parti politik di negaranya supaya menyatakan pendirian mereka dengan jelas mengenai perkara itu.
“Ini bukan hanya atas campur tangan asing tetapi atas dua prinsip asas.
"Pertama, politik identiti tidak ada tempat di Singapura. Kedua, kita tidak boleh mencampurkan agama dan politik," katanya lagi.

