malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP Bayan Baru umum bertanding naib presiden PKR
Diterbitkan:  Apr 26, 2025 1:37 PM
Dikemaskini: 10:29 AM
ADS

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin hari ini mengumumkan keputusannya bertanding jawatan naib presiden PKR pada pemilihan pusat parti yang akan datang bulan depan.

Sim, yang juga setiausaha politik kepada Pejabat Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata dia membuat keputusan berkenaan selepas 26 tahun terlibat dalam parti tersebut.

"Sebagai Pengarah Strategi Pusat paling lama berkhidmat (2013–2022), saya memainkan peranan penting dalam kejayaan bersejarah menukar kerajaan persekutuan pada tahun 2018.

"Saya juga pernah didakwa di mahkamah dalam kes (protes) Kita Lawan pada tahun 2015.

"Jika disabitkan, saya berisiko kehilangan segala-galanya namun saya memilih untuk membujur lalu, melintang patah," katanya.

"Ketika krisis politik Sheraton Move, saya kekal setia bersama parti, menolak sebarang bentuk pengkhianatan.

"Berdasarkan pengalaman panjang dan kesetiaan saya kepada perjuangan parti, saya dengan rendah hati memohon sokongan daripada semua ahli PKR," kata Sim lagi pada satu kenyataan.

Dengan penyertaan Sim, dia akan menjadi pencabar ketiga bagi empat jawatan yang pertandingkan, dua lagi ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar telah mengumumkan hasrat mereka untuk mempertahankan jawatan naib presiden.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen