malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saya tak sebut nama Dr Mahathir, kata presiden Umno
ADS

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan penghargaan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad atas kerjasama yang diberikan kepada parti itu dalam soal pegangan hartanah.

Sambil menafikan dakwaan dia menuduh Dr Mahathir enggan menandatangani surat pelepasan tanggungjawab aset milik Umno, katanya parti itu menghargai selain berlapang dada jika bekas perdana menteri itu ikhlas menyerahkan semula tanggungjawabnya tersebut.

"Saya tidak pernah menyebut nama beliau (Dr Mahathir)... apabila ditanya wartawan, saya hanya sebut seseorang (berhubung status tandatangan untuk pindah milik tanah Umno).

“Baguslah kalau benar dia telah tanda tangan penyerahan hak milik itu dan jika dia benar-benar ikhlas, jika ada maslaah teknikal…tentu ia boleh diperbaiki,” katanya kepada media selepas majlis bersama Orang Asli di Kampung Sungai Keroh Dalam, Perak., hari ini.

Ahmad Zahid berkata dia tidak menyebut mana-mana nama secara khusus dalam kenyataan sebelum ini, yang antara lain mendakwa ada pemegang amanah yang masih enggan enggan menandatangani dokumen pelepasan walaupun pemegang amanah lain sudah berbuat demikian.

Tanah berkenaan terletak di Lot 40, Seksyen 51, Kuala Lumpur yang kini menempatkan Hotel Seri Pacific. Ia terletak bersebelahan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan Menara Dato’ Onn yang menjadi ibu pejabat Umno.

Pada 17 April lalu, Mahathir yang juga bekas presiden Umno berkata kesemua empat pemegang amanah telah menandatangani akuan berkanun pada 2015 bagi memudahkan permohonan pemindahan tanah itu kepada Umno namun permohonan tersebut ditolak atas sebab teknikal.

Dia menuntut permohonan maaf daripada Zahid dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi, menyifatkan kenyataan mereka berhubung isu tersebut sebagai fitnah.

Terdahulu, Puad mendakwa Mahathir adalah pemegang amanah yang dimaksudkan Zahid dalam kenyataannya.

Selepas respons balas Mahathir, Puad mengakui membuat kesilapan yang menurutnya berpunca daripada laporan berita “tidak jelas”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen