ULASAN SUKAN | Dunia badminton kita macam kembali ceria minggu ini.
Pertama, kerana kejayaan pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menampilkan perwatakan garang lalu menjuarai acara beregu lelaki di Kejohanan Asia di Ningbo, China, Ahad lalu.
Aksi gemilang mereka itu dikaitkan dengan kemunculan Herry Iman Pierngadi si 'Naga Api'. Jurulatih beregu dari Indonesia itu ternyata berjaya mengubah selera anak didiknya itu dalam tempoh singkat sehingga mampu mengungguli kejohanan berprestij.
Kedua, pasangan beregu campuran nombor tiga dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memberi nafas lega kepada peminat apabila memutuskan untuk kembali bersatu bagi menyahut cabaran di pentas antarabangsa.
Suasana ceria dalam kem badminton akan bertambah lagi andainya Pearly Tan dan M Thinaah bersetuju melanjutkan kontrak mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sehingga kini, status pasangan nombor lima dunia itu masih berstatus teka-teki. Belum dapat dipastikan sama ada mereka kekal dengan BAM atau memilih ‘angkat kaki’ untuk menjadi pemain profesional.
Jelas, tiga pasangan utama negara itu dianggap elemen penting untuk skuad negara khasnya dalam usaha mengutip mata berharga bagi cabaran Piala Sudirman yang bermula di Xiamen, China antara 27 April sehingga 4 Mei ini.
Berdasarkan kekuatan semasa, kemenangan dijangka akan berkisar kepada kemantapan pasangan tersohor itu untuk mengutip tiga mata bagi memburu kemenangan dalam saingan peringkat awal kumpulan C yang membabitkan Jepun, Perancis dan Australia.
Ada regu seimbang
Satu hakikat tidak boleh disangkal ialah, skuad badminton negara tidak dapat menaruh harapan terlalu tinggi ke atas pemain perseorangan lelaki atau wanita.
Tambah perit, kita ketiadaan Lee Zii Jia yang menarik diri. Pemain lain yang terpilih - seperti Justin Ho dan Leong Jun Hao (perseorangan lelaki) dan Goh Jin Wei, K Letshanaa (perseorangan wanita) - belum terbukti mampu menggegar di pentas besar, melainkan ada kejutan besar berlaku nanti.
Mungkin ada antara mereka mampu mengutip satu mata dalam saingan peringkat kumpulan, tetapi jika pasukan negara melepasi halangan itu, baru cabaran sebenar bermula apabila berdepan pasukan lawan yang penuh dengan bintang dalam peringkat kalah mati.
Ini bukan soal mahu memperkecilkan kemampuan pemain perseorangan, tapi kadang-kadang realiti yang pahit harus kita telan bersama-sama.

Dengan senario itu, pada logiknya sandaran memenangi saingan akan tetap terarah pada kelibat pemain beregu utama negara bagi edisi kali ini.
Kita juga bertuah kerana ada dua lagi pasangan beregu lelaki negara yang seimbang kekuatan mereka ketika ini. Mereka ialah Goh Sze Wei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Te Kai Wun.
Kelebihan itu sepatutnya melegakan Herry Iman selaku arkitek yang merancang kejayaan Aaron-Wooi Yik menjuarai Kejohanan Asia baru-baru ini.
Jurulatih import itu dilaporkan berkata, tiga gandingan beregu lelaki berkenaan adalah kombinasi terbaik buat Malaysia yang memberikan dia banyak pilihan. Ia sekali gus menyalakan harapan mengutip salah satu mata buat skuad negara.
Nasihat menteri beri kesan
Pada masa sama ia menghantar mesej buat gandingan Tang Jie-Ee Wei supaya mereka memulakan episod baru dengan meninggalkan segala kekeruhan yang ada.
Inilah pasangan beregu campuran yang menjadi harapan besar kita bagi mengintai peluang memburu pingat di Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Peminat tanah air amat mengharapkan mereka kembali fokus kepada misi membantu impian negara dalam tempoh kira-kira tiga tahun lagi.
BAM membuat keputusan untuk memisahkan gandingan berkenaan pada 28 Mac lalu selepas prestasi regu berkenaan menurun gara-gara perhubungan yang difahamkan semakin renggang.
Namun teguran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, terkait dalam kes itu nampaknya turut membantu menyelesaikan kemelut tersebut.
Yeoh menegaskan bahawa penting untuk pasangan terbabit dikekalkan kerana mereka adalah sebahagian daripada program Road To Glory (RTG) tahun ini yang dibentuk sebagai persiapan memburu pingat di Sukan Olimpik nanti.
Ingat, isu gandingan tidak sepatutnya timbul kerana keutamaan ialah misi menggapai pingat emas untuk negara.

Jika masalah itu membiak, maknanya lebih ramai lagi pasangan beregu negara mungkin akan mengambil langkah sama.
Sesuatu konflik sepatutnya sentiasa boleh diselesaikan dengan cara terbaik melalui kaunseling BAM.
Selepas Piala Sudirman, Tang Jie-Ee Wei diharap dapat memberikan fokus kepada cabaran di Terbuka Singapura pula yang berlangsung pada 27 Mei sehingga 1 Jun ini.
Berkenaan gandingan Pearly-Thinaah, ada pandangan menganggap lebih baik mereka kekal bernaung di bawah payung BAM kerana lebih ‘selamat’ berbanding sebaliknya walaupun ia mungkin menjanjikan pendapatan lebih lumayan.
Penulis pun tidak melihat apa untungnya jika mereka bergerak sebagai pemain profesional ketika masing-masing mencecah usia 24 dan 26 tahun. Bahkan Ia lebih terarah kepada risiko.
Namun, jika mereka menyimpan hajat besar mahu beralih angin, biarlah mereka pergi menempuh pengalaman baru itu. Lagi pun, tidak mungkin BAM akan menolak mereka jika pulang semula ke tempat asal mereka satu hari nanti.
Apa pun, ketika ini BAM masih memberi masa kepada pasangan terbabit untuk berfikir lebih mendalan sebelum membuat keputusan demi masa depan mereka.
Rasanya tidak mungkin Perly-Thinaah akan hilang fokus dalam Piala Sudirman. Mereka diyakini tetap memberi komitmen penuh di atas gelanggang di Xiamen membantu skuad negara mengutip mata berharga.
Sehingga itu, mereka adalah pemain BAM. Dan semoga ia kekal selepas itu juga.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

