malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Zafrul, Miti mampu tangani kenaikan tarif AS
ADS

ULASAN | Keputusan pentadbiran Donald Trump untuk mengenakan tarif asas 10 peratus ke atas hampir semua import dan tarif timbal balas yang lebih tinggi ke atas negara-negara tertentu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pembuat dasar, industri dan masyarakat di seluruh dunia.

Malaysia yang mengalami lebihan dagangan dengan AS sebanyak AS$24.8 bilion pada 2024 pula dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, manakala Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar dikenakan tarif yang jauh lebih besar (lebih 40 peratus).

Tidak lama selepas itu Trump membuat pusingan U dengan menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari bagi membolehkan proses rundingan dijalankan di antara AS dengan negara-negara yang terkesan. Pada masa sama tarif asas 10 peratus dikekalkan.

Sebagai respons awal, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian Kuala Lumpur yang tidak bercadang untuk mengenakan tarif balas sebaliknya memilih kaedah rundingan dengan Washington bagi mencapai penyelesaian perdagangan yang adil dan bersifat menang-menang.

Dalam konteks ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) yang diterajui oleh Tengku Zafrul Abdul Aziz adalah petugas barisan hadapan yang penting untuk berunding bagi pihak negara.

Dalam menangani kenaikan tarif AS, Tengku Zafrul bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Washington untuk bertemu dan berunding dengan wakil perdagangan AS terutamanya Pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika (USTR).

Rundingan untuk mendapatkan pengecualian atau pengurangan tarif daripada AS bukan sahaja bergantung pada logik ekonomi tetapi juga pada kemahiran diplomasi dan pembentukan naratif.

Dalam rundingan ini, Miti perlu mempromosikan naratif bahawa Malaysia adalah rakan kongsi yang boleh dipercayai dan boleh diharapkan, ulangi komitmen Malaysia terhadap perdagangan berasaskan peraturan, dan menekankan kepentingan strategik Malaysia di rantau Indo-Pasifik serta kedudukan Malaysia sebagai pintu gerbang untuk rantau Asean.

Ada kelebihan moral, diplomatik

Dengan menekankan peranan Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai, mementingkan peraturan dan signifikan dari segi geopolitik, Malaysia boleh memposisikan dirinya sebagai aktor yang konstruktif di Indo-Pasifik sekali gus layak untuk mendapat pelepasan tarif, bukannya dikenakan penalti.

Malaysia berpeluang untuk mendapatkan kelebihan di meja rundingan sekiranya mampu memanfaatkan isu ketidakselarasan fakta berkaitan tarif.

Dakwaan Rumah Putih bahawa Malaysia mengenakan tarif sebanyak 47 peratus adalah jauh menyimpang daripada realiti memandangkan purata tarif sebenar yang dikenakan oleh negara ini hanya kira-kira 5.6 peratus.

Malaysia juga perlu menuntut penjelasan lanjut daripada AS mengenai metodologi yang digunakan dalam pengiraan tarif tersebut. Sekiranya mereka gagal dapat mengemukakan asas pengiraan yang rasional, telus dan konsisten dengan norma perdagangan antarabangsa, Kuala Lumpur wajar mempertikaikan keabsahan tarif balas yang dikenakan oleh AS.

Hal ini memberikan Malaysia kelebihan moral dan diplomatik kerana berupaya menunjukkan bahawa langkah Washington tidak adil dan bukan berdasarkan data yang sahih.

Kedudukan sebagai Pengerusi Asean 2025 juga memberikan Malaysia pengaruh dan kelebihan di meja rundingan kerana pandangan serta tindak balas bersama negara anggota dapat diselaraskan.

Bagi mendapatkan kesepakatan sesama anggota Asean, Perdana Menteri Malaysia mengadakan perbincangan menerusi telefon bersama ketua negara seperti Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam, Singapura dan Vietnam.

Melalui mesyuarat khas Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) baru-baru ini pula, beberapa pendirian diambil termasuklah menolak kaedah pengiraan dan tarif timbal balas AS, menekankan rundingan konstruktif dan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Geoekonomi Asean sebagai platform baru untuk menangani cabaran-cabaran ekonomi global.

Kepengerusian Asean ini memberi ruang kepada Malaysia untuk mengangkat isu tarif secara kolektif dan menggerakkan solidariti bersama dalam mempertahankan perdagangan bebas dan terbuka.

Ada bukti penting

Selain daripada membentuk koordinasi melalui Asean, Miti memainkan peranan penting dalam memperkukuh penyelarasan dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai aktor serta pemegang taruh.

Dari aspek ini, Miti berperanan sebagai sekretariat kepada Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

NGCC yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian utama dan agensi-agensi memainkan peranan yang penting dalam membangunkan strategi komprehensif untuk mengurangkan potensi impak kenaikan tarif.

Selain itu, Miti juga mendengar suara pelbagai pemegang taruh. Melalui pembentukan pasukan petugas khas, Miti mengambil kira pandangan daripada pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri antara lain termasuklah Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia dan Dewan Perdagangan dan Industri Kebangsaan Malaysia.

Ia penting bukan saja untuk memahami kesan ekonomi di peringkat mikro, bahkan bagi memperkukuh hujah Malaysia semasa rundingan dengan AS dan membantu Miti merangka strategi paling sesuai dalam menghadapi krisis.

Melalui pembentukan NGCC dan pasukan petugas khas, Miti menunjukkan kepimpinan dasar inklusif yang memastikan pelbagai pemegang taruh terlibat dalam proses pembuatan keputusan bagi memastikan respons kerajaan bersifat menyeluruh, bersatu dan berstrategi.

Malaysia juga tidak asing dengan pengalaman berunding dengan kuasa besar.

Kejayaan rundingan semula projek-projek BRI seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia ketika era pentadbiran Pakatan Harapan 1.0 menjadi bukti penting.

Ketika itu, rundingan yang diketuai oleh Daim Zainuddin dengan pihak China berjaya mencapai penyelesaian yang mengimbangi kepentingan ekonomi negara dan keperluan memelihara hubungan diplomatik dengan Beijing.

Pendekatan berunding dan diplomasi yang membawa kepada penyelesaian menang-menang terbukti berkesan dan boleh dijadikan panduan untuk menghadapi tekanan tarif daripada AS.

Justeru keupayaan infrastruktural negara - iaitu keupayaan untuk berunding serta membentuk koordinasi dan kolaborasi secara konstruktif - adalah aset yang tidak ternilai bagi menghadapi kenaikan tarif AS dan ketidaktentuan ekonomi global.

Keupayaan yang dimiliki Tengku Zafrul dan Miti itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya di meja rundingan bagi melindungi dan memelihara kepentingan negara.


ZAHARUL ABDULLAH ialah pensyarah sains politik di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen