malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tanah Umno: Ada pemegang amanah enggan tanda tangan dokumen
ADS

Umno hari ini mengesahkan terdapat seorang individu yang sebelum ini menjadi pemegang amanah parti masih enggan menandatangani dokumen pelepasan walaupun pemegang amanah lain sudah berbuat demikian.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, berkata individu yang dilantik sebagai pemegang amanah sepatutnya melepaskan tanggungjawab itu setelah tidak lagi memegang jawatan dalam parti atau kerajaan.

"Ada individu masih enggan berbuat demikian, walaupun tiga pemegang amanah lain menandatangani dokumen pelepasan," katanya kepada media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid melancarkan Akademi Rel Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Dia yang juga timbalan perdana menteri mengulas demikian selepas ditanya mengenai tindakan Umno memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti itu.

Tanah tersebut terletak di ibu kota.

Ahmad Zahid menjelaskan, sebuah firma guaman telah mengeluarkan surat bagi mendesak individu terbabit untuk berbuat demikian, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima.

“Telah ada surat dari firma guaman untuk beliau melepaskannya tetapi hingga sekarang enggan menandatangani dokumen berkenaan,” jelasnya lagi.

Semalam, media melaporkan Umno memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti itu.

Saman difailkan Setiausaha Kerja Umno, Mohd Sumali Reduan, selaku plaintif menerusi firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 6 Mac lalu.

Mereka menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Umno dilaporkan berkata, pada pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar, mahkamah menetapkan 2 Mei untuk pengurusan kes selanjutnya.

Dalam saman itu, Umno memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama empat tokoh dipindahkan kepada parti.

Permohonan itu dibuat mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.

Empat individu yang menjadi pemegang amanah bagi tanah berkenaan ialah Allahyarham Daim Zainuddin, Musa Hitam, Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Sanusi Junid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen