malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Asyraf Wajdi: Jangan risau dilabel jibam, mat repot, barua
Diterbitkan:  Apr 10, 2025 12:15 PM
Dikemaskini: 12:46 PM
ADS

Selepas terpalit dengan insiden buli, Pengerusi Mara hari ini menghantar isyarat terbuka agar tiada sesiapa yang teragak-agak mengadu terus kepadanya jika mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut.

Kata Asyraf Wajdi Dusuki sejak menduduki jawatan tersebut pada Mac 2023 banyak kali dia 'menerjah' Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berdasarkan aduan serta maklum balas pelbagai pihak.

Antara aspek yang diberi perhatian, katanya, ialah isu kartel, kemudahan asrama dan dewan makan serta lain-lain yang berjaya diselesaikan dengan baik untuk manfaat institusi yang menjadi payung kepada agenda pendidikan Melayu dan bumiputera berkenaan.

"Jika isu dewan selera (dewan makan), tandas, kelas pun pelajar boleh mengadu terus pada saya melalui media sosial, harap isu buli juga, tolonglah laporkan. Hentikan budaya buli," katanya di media sosial.

Mengiringi hantaran tersebut ialah tanda pagar #YouTouchYouGo.

Awal minggu ini nama MRSM menarik perhatian ramai apabila tular kejadian beberapa pelajar membuli rakan mereka di sebuah asrama di Pulau Pinang.

Mereka sudah dicadangkan oleh Asyraf Wajdi agar disingkirkan dari MRSM. Malah Asyraf Wajdi memberi amaran agar tiada sesiapa cuba merayu keputusan tersebut.

Menurut Asyraf Wajdi lagi hari ini, mana-mana pelajar yang menjadi mangsa buli - dalam apa bentuk sekali pun - mereka tidak perlu teragak-agak untuk tampil mendedahkan kejadian tersebut.

"Saya merayu agar pelajar-pelajar terutamanya jangan sesekali ragu ragu untuk melaporkan sebarang perilaku buli di asrama.

"Jangan risau dilabel jibam, mat repot, barua atau sebagainya.

Jangan sesekali biarkan diri mahupun taulan dibuli dalam apa jua bentuk," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen