malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
NGO Hindu minta PMO tubuh badan kawal selia kuil
ADS

Persatuan Hindu Malaysia (MHS) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi memohon penubuhan sebuah badan kawal selia.

Menurut MHS, badan ini akan bertanggungjawab untuk mengawal selia kuil-kuil Hindu di seluruh negara melibatkan urusan pendaftaran, status tanah serta penyelesaian pertikaian berkaitan kuil-kuil tersebut.

MHS juga mencadangkan penubuhan Sistem Pendaftaran Digital Kuil Hindu Malaysia, yang akan menyimpan rekod semua kuil termasuk laporan kewangan tahunan mereka.

“Kami mahu memastikan adanya tadbir urus yang baik dalam pengurusan kuil,” kata Setiausaha Agung MHS, Vinayagamoorthii.

ADS

Memorandum itu diserahkan oleh Presiden MHS, T Ganesan kepada wakil PMO, Shanmugam Mookan, semasa sesi town hall anjuran MHS di Brickfields, Kuala Lumpur.

Sesi town hall bersama wakil-wakil kuil dari seluruh negara ini diadakan susulan kontroversi pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang didakwa berusia 130 tahun di Jalan Masjid India, bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.

Pemindahan kuil tersebut mencetuskan reaksi berbeza dalam kalangan masyarakat, terutamanya dalam media sosial yang memberi tumpuan kepada status sah kuil-kuil Hindu.

Sebuah kumpulan Facebook turut diwujudkan khusus untuk melaporkan isu berkaitan kuil-kuil yang didakwa dibina secara haram.

Beberapa langkah telah diambil

Dalam sidang media semasa sesi town hall itu, Timbalan Menteri Perpaduan, Saraswathy Kandasamy memaklumkan bahawa kabinet telah meluluskan beberapa resolusi daripada persidangan kuil yang diadakan tahun lalu.

Salah satu resolusi tersebut ialah penubuhan sebuah jawatankuasa di bawah MHS untuk meneliti isu tanah dan pengurusan kuil, katanya.

“Jadi, apa yang saya nak tekankan ialah memang sudah ada langkah-langkah yang telah diambil, malah langkah tersebut sangat proaktif oleh pihak MHS,” tambahnya.

Dia turut menjelaskan bahawa isu berkaitan status tanah kebiasaannya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Saya rasa sudah ada arahan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang berkaitan untuk bekerjasama dengan MHS bagi menyelesaikan isu-isu ini,” katanya lagi.

Selain itu, Vinayagamoorthii turut menjelaskan bahawa MHS sebagai sebuah NGO tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan garis panduan pengurusan kuil yang sedia ada.

Katanya, peranan MHS hanyalah sebagai penasihat.

“(Garis panduan tersebut) telah pun diberikan dalam banyak persidangan kuil yang telah diadakan sebelum ini.

“Malangnya, garis panduan itu diambil tetapi tidak dipatuhi.

“… Kadang-kadang agak sukar kerana keadaan demografi sesuatu kuil itu mungkin tidak memungkinkan mereka untuk melaksanakan garis panduan tersebut,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen