malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jepun catat 42,000 mayat tak dituntut pada 2023
ADS

Seramai 42,000 mayat tidak dituntut oleh waris di Jepun pada 2023 dan telah dibakar atau dikebumikan oleh pihak berkuasa tempatan berikutan peningkatan jumlah warga emas yang hidup bersendirian tanpa sokongan keluarga, lapor Agensi Berita Kyodo.

Kajian pertama seumpamanya yang dijalankan atas permintaan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kesejahteraan turut mendedahkan bahawa kebanyakan pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai prosedur tetap untuk menguruskan mayat yang tidak dituntut, termasuk tempoh masa sebelum pembakaran dilakukan.

Daripada kajian membabitkan kira-kira 1,160 pihak berkuasa tempatan, hanya 11.3 peratus menyatakan bahawa mereka mempunyai garis panduan, manakala 43.5 peratus mengakui tiada prosedur khusus. Sebahagian lagi memaklumkan bahawa meskipun tidak mempunyai peraturan sendiri, mereka merujuk kepada amalan di kawasan lain.

Pihak berkuasa juga berdepan kebimbangan terhadap kemungkinan waris tampil menuntut mayat selepas proses pembakaran selesai dijalankan.

Sebanyak 41,969 mayat tidak dituntut itu — sama ada yang dikenal pasti atau tidak — mewakili 2.7 peratus daripada keseluruhan kematian di Jepun sepanjang 2023.

ADS

Keperluan terhadap satu sistem yang menyeluruh untuk menguruskan perkara ini semakin mendesak, dengan jumlah kes dijangka meningkat dalam tahun-tahun mendatang.

Institut Penyelidikan Populasi dan Keselamatan Sosial Kebangsaan meramalkan bahawa menjelang 2050, sebanyak 23.3 juta daripada 52.6 juta isi rumah di Jepun, atau 44.3 peratus, akan terdiri daripada isi rumah berseorangan.

Antara pihak berkuasa tempatan yang sudah mempunyai sistem, bandar Yokosuka berhampiran Tokyo memulakan program pada 2015 bagi membantu warga emas berpendapatan rendah yang tidak mempunyai tanggungan untuk membuat kontrak dengan rumah mayat.

Di bawah program itu, pihak bandar akan memantau kesejahteraan mereka dan menghubungi pihak berkaitan sekiranya berlaku kematian.

“Bilangan kes yang tiada keluarga untuk menguruskan pengebumian akan terus meningkat. Adalah penting untuk pihak berkuasa tempatan mewujudkan sistem yang menghormati maruah dan hasrat penduduk,” kata Kazuyuki Kitami, seorang pegawai kebajikan di bandar itu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen