malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kebakaran Putra Heights: 'Wan Fayhsal buat kenyataan palsu, berniat jahat'
Diterbitkan:  Apr 6, 2025 3:22 PM
Dikemaskini: 7:22 AM
ADS

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal perlu segera memohon maaf dan menarik balik kenyataan "palsu dan berniat jahat" berhubung kebakaran paip gas di Putra Heights serta bantuan kerajaan kepada mangsa, kata Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil.

Faiz merujuk kenyataan Wan Fayhsal semalam, yang antaranya mendakwa insidentelah meragut nyawa serta menyifatkan bantuan tunai RM5,000 yang disalurkan kerajaan kepada mangsa sebagai "penghinaan".

“Ini (dakwaan kebakaran telah meragut nyawa) adalah bohong sama sekali dan pihak berkuasa telah menyatakan bahawa tiada sebarang kematian setakat ini. Kenyataan palsu Wan Fayhsal amat dikesali.

“Wan Fayhsal juga mendakwa bantuan RM5,000 kerajaan kepada mangsa adalah tidak mencukupi dan merupakan satu ‘penghinaan’. Ini juga berniat jahat kerana ia seolah-olah menggambarkan bahawa kerajaan Madani hanya memberikan bantuan RM5,000 maksimum.

“Ini adalah palsu. Malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyatakan pada 1 April 2025 bahawa kerajaan akan membaiki atau menggantikan rumah yang rosak atau musnah dalam letupan tersebut. Ingin saya bertanya kepada Wan Fayhsal, adakah kos rumah baru bernilai RM5,000 sahaja?” soal Faiz dalam kenyataan hari ini.

ADS

Justeru, dia mendesak Wan Fayhsal agar menarik balik kenyataannya dan membuat permohonan maaf terbuka kepada kerajaan serta semua mangsa kebakaran atas “penyebaran maklumat palsu”.

Wan Fayhsal yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu membuat dakwaan tersebut dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada dua hari lalu.

Kebakaran besar yang berlaku di saluran gas Petronas pada pagi Selasa lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, sehingga mengubah keadaan kawasan itu menjadi kawah besar.

Kebakaran tersebut menyebabkan kemusnahan besar dalam lingkungan 500 meter, memusnahkan 87 rumah dan merosakkan 148 rumah yang lain. 

Pihak berkuasa telah mengenal pasti seramai 308 keluarga melibatkan 1,254 mangsa yang terkesan akibat insiden itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen