Peniaga belon Muhammad Za’imuddin Azlan dikatakan berisiko mengalami lumpuh kekal susulan kecederaan di bahagian tulang belakang, didakwa ekoran dicederakan penguat kuasa DBKL dalam kejadian di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, pada 28 Mac lalu.
Pengamal perubatan swasta Dr Mohd Hafidz Rizal (gambar utama, kiri) memberi gambaran betapa kecederaan dialami lelaki yang dikenali sebagai Abang Belon itu sebagai serius, berdasarkan laporan awal oleh hospital.
Dia berkata kecederaan dialami Abang Belon diklasifikasikan sebagai T12 compression.
Menurutnya, Za’imuddin berisiko lumpuh secara kekal dan perlu berehat dan tidak membuat sebarang kerja berat dalam tempoh tiga hingga enam bulan.
“Hasil laporan perubatan ini menunjukkan T12 compression, banyak komplikasi dan yang paling kita risau dia mula rasa kebas dan pesakit tidak dapat mengawal kencing.
“Komplikasi yang kita tak nak berlaku adalah risiko lumpuh, kita berdoa dalam tempoh tiga hingga enam bulan, dia kembali pulih,” katanya dalam sidang media selepas Za’imuddin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.
Untuk rekod, Dr Mohd Hafidz pernah menjadi ketua Pemuda PKR Kelantan sebelum dipecat pada 2017.
Ketika itu, dia menyifatkan pemecatannya sebagai tidak adil dan dibuat secara sepihak oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, yang merupakan ketua Pemuda PKR pada masa itu.
Dalam sidang media hari ini, Za’imuddin turut ditemani ibu bapanya dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Pertimbang tindakan undang-undang
Mengulas lanjut, Mohd Hafidz berkata Za’imuddin sepatutnya menjalani pembedahan inguinal hernia (angin pasang) pada 18 April ini.
“Tetapi oleh kerana kecederaan dialaminya, pembedahan itu terpaksa ditangguhkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Rafique memaklumkan Za’imuddin sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang.
Dia berkata, pihaknya berpandangan kekasaran yang dilakukan penguat kuasa DBKL itu tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan anak guamannya.
“Ramai mengatakan DBKL hanya melaksanakan tanggungjawab sebab (mangsa) tak ada lesen. Betul yang dia boleh dikenakan tindakan tapi adakah tindakan itu (mengasari) berpatutan dengan kesalahanya?
“Tindakan undang-undang akan dibuat selepas kita mendapat laporan perubatan penuh nanti,” katanya lagi.