Tampil mengadakan sidang media buat kali pertama selepas disita penguat kuasa DBKL pada 28 Mac lalu, Muhammad Za’imuddin Azlan atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’ meluahkan perasaannya berkaitan kejadian itu.
Za’imuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan memiliki rekod jenayah lampau, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada peguamnya.
Namun berhubung rekod tersebut, dia mempersoalkan apakah dia tiada hak untuk mencari rezeki halal disebabkannya.
“Pada 28 Mac saya di Sogo jual belon, saya tidak jual dadah. Kalau saya bekas penjenayah, maka saya boleh dipukul, ditendang, diterajang, dicekup leher dan diperlaku zalim?
“Kalau saya ada kes lampau adakah itu lesen untuk siapa-siapa sahaja boleh pukul saya? Kalau saya miskin, susah dan ada kes lampau, adakah DBKL boleh layan saya macam sampah?
“Kalau saya ada kes lampau, adakah maksudnya saya tiaada tempat untuk lawan orang yang buat salah dengan saya?“ soalnya sambil menangis teresak-esak pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Za’imuddin ditemani ibu bapanya ke Ibu Pejabat Polis Deadah (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.
Turut hadir adalah peguam Rafique Rashid dan pengamal perubatan Dr Mohd Hafidz Rizal.
Semalam, laporan Bernama memetik sumber sebagai mendakwa lelaki itu memiliki 13 rekod kesalahan lampau, dengan kebanyakannya berkaitan kesalahan dadah.
“Suspek pernah didakwa atas enam daripada kes tersebut sebelum ini,” maklum sumber itu.
Sebelum ini, tular video pergelutan antara Za’imuddin dengan penguat kuasa DBKL yang mendapat reaksi ramai.
Pada 30 Mac lalu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Azry Akmar Ayob memaklumkan tiga laporan telah diterima berhubung insiden itu, iaitu daripada dua penguatkuasa DBKL dan ibu kepada Za’imuddin.
‘Adakah dia hina sangat?’
Sementara itu, Rafique berkata Za’imuddin tidak akan mengulas mengenai rekod tersebut selagi tiada pengesahan rasmi.
Katanya lagi, kes lampau biasanya hanya dibangkitkan ketika perbicaraan, antaranya sebagai hujah oleh pihak pendakwaan agar hukuman lebih berat dikenakan, jika tertuduh disabit bersalah.
“Bagaimanapun, ada kes lampau ke, sudah masuk jel ke, sudah kena denda ke, itu langsung tidak menghalalkan perbuatan melampaui oleh mana-mana orang terutamanya badan penguatkuasaan.
“Adakah dia hina sangat boleh diperlaku sebegitu rupa?
“Sedangkan kita tahu di Malaysia ini ramai mempunyai kesalahan lampau, ada yang menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan tetapi mereka tidak pula dimalukan sebagaimana Za’imuddin dimalukan,” katanya lagi.