Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek tidak berselindung dalam kata-katanya ketika menyindir seorang aktivis PN yang membuat dakwaan salah bahawa pelajar sebuah sekolah lagu Negaraku dalam bahasa Cina.
Fadhlina berkata aktivis itu, yang tidak dinamakannya, yang membuat dakwaan itu menunjukkan dia mengalami “penyakit bebalisme”.
“…Penyakit bebalisme yang ditunjukkan oleh seorang yang mendakwa dirinya adalah pempengaruh politik adalah sangat memalukan.
“Mengapa bebalisme? Pertama, memfitnah. Kedua, tidak tahu membedakan lagu Negaraku dan lagu negeri Perak.
“Ketiga, tidak punya rasa malu menyebarkan fitnah. Keempat, langsung tidak bertanggungjawab dengan fitnah dan kebebalan yang disebarkan. Kelima, langsung jahil tentang sejarah lagu negeri,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Kenyataan Fadhlina itu ditujukan kepada Syarul Ema Rena Abu Samah, yang lebih dikenali sebagai Ratu Naga, yang membuat dakwaan tersebut dua hari lalu.
Syarul Ema berkata dia telah memadam video itu hanya selepas 10 minit memuat naiknya di media sosial, namun menuduh “laskar siber PH” memuat turun kandungan itu dan menularkannya.
Dia turut memohon maaf atas dakwaan yang dibuat dan berkata dia tidak memahami “bahasa pelat”.
Kata Fadhlina lagi, usaha untuk mengangkat martabat negara harus dilakukan melalui ilmu, bukan dengan “bebalisme”.
Dia turut menegaskan keperluan melindungi kanak-kanak daripada pengaruh individu yang menyebarkan unsur negatif, sambil menggalakkan mereka untuk belajar, memahami, dan saling mendukung antara satu sama lain.
“Kita harus segera mengambil tanggungjawab mengepung anak-anak kita dengan menolak pempengaruh yang sumbang dan jelik,” katanya lagi.