malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pegawai timbalan menteri pendidikan lapor polis terhadap Ratu Naga
Diterbitkan:  Apr 5, 2025 10:30 PM
Dikemaskini: 2:31 PM
ADS

Pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh serta beberapa individu lain membuat laporan polis terhadap aktivis pro-PN, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai ‘Ratu Naga’.

Ini selepas wanita itu memuat naik satu video yang mendakwa pelajar sebuah sekolah Cina di Perak menyanyikan lagu kebangsaan dalam bahasa Cina ketika satu acara di sekolah tersebut.

Khoo Kim Han dalam kenyataan berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang petang tadi terhadap Syahrul Ema atas tuduhan menyebarkan fitnah dan menghasut sentimen perkauman melalui platform media sosial.

"Kami menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya menyebarkan kebencian kaum serta memfitnah institusi pendidikan negara,” kata Khoo.

Turut hadir membuat laporan itu ialah Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Farhan Haziq dan Kwan Say Hong, serta Ketua Whip Ahli Majlis MPKJ, Thiagarajah Rajagopal.

ADS

Semalam, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, Woo Kah Leong, mengecam dakwaan bahawa warga sebuah sekolah di Teluk Intan menyanyikan lagu kebangsaan dalam bahasa Cina semasa satu acara di sekolah itu.

Woo berkata, mereka yang hadir pada majlis itu menyanyikan lagu negeri Perak, “Allah Lanjutkan Usia Sultan”, yang melodinya mirip lagu kebangsaan “Negaraku”.

Audio dalam klip video itu juga kedengaran tidak jelas. Walaupun melodinya kedengaran seakan-akan sama ada Negaraku atau Allah Lanjutkan Usia Sultan, namun liriknya tidak dapat dipastikan.

Kementerian Pendidikan turut mengkritik tindakan pempengaruh tersebut dan meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan apa yang disifatkan sebagai “fitnah jahat” yang bertujuan untuk menimbulkan perpecahan dan menggugat perpaduan negara.

Dalam satu kenyataan bersama, keempat-empat mereka menuduh Syarul Ema cuba mencetuskan permusuhan kaum dengan memuat naik kandungan provokatif untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap komuniti Cina di Malaysia.

Mereka juga menambah bahawa video tersebut dimuat naik untuk mencemarkan imej pendidikan vernakular dan membangkitkan sentimen anti-perpaduan dalam kalangan rakyat.

Mereka mendesak pihak berkuasa menyiasat Syarul Ema di bawah Seksyen 505 dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan, serta di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan kandungan berunsur fitnah.

"Kes ini juga perlu diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Harap laporan forensik digital boleh dihasilkan bagi membuktikan niat dan elemen hasutan dalam kenyataan yang dibuat,” jelasnya.

Terdahulu, Syarul Ema menyalahkan laskar siber PH kerana mendakwa mereka menularkan video berkenaan walaupun dia telah memadamkan video itu dalam tempoh 10 minit selepas ia dimuat naik.

Aktivis pembangkang itu juga “memohon maaf” kepada pelajar sekolah tersebut, dengan mengatakan dia tidak memahami “bahasa pelat” mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen