Tindakan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan agar Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, bercuti ketika tragedi letupan paip gas di Putra Heights berlaku, disifatkan sebagai dangkal.
Setiausaha Politik kepada Amirudin, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak membantu, malah langsung tidak menunjukkan empati kepada mangsa dan keluarga yang sedang berduka.
"Biasanya yang mengambil cuti semasa krisis ini adalah Menteri Besar daripada PAS jika mengambil contoh sebuah negeri di Pantai Timur.
"Ini masa krisis, tapi pemimpin PAS masih sempat mencadangkan perkara tidak bijak laksana buntal kembung, perut buncit di dalamnya kosong.
"Kami tidak akan melayan kenyataan kosong yang hanya mahu mengalihkan perhatian rakyat dari hakikat sebenar siapa yang benar-benar bekerja, dan siapa yang hanya pandai bercakap.
"Kalau tidak mampu membantu, usahlah jadi batu penghalang kerana rakyat sedang memerhatikan," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu Ahmad Fadhli Shaari dalam hantaran di Facebook menyindir Amirudin dengan menyarankan menteri besar Selangor itu untuk bercuti.

Saranan itu dibuat ketika membalas kritikan Amirudin yang menyifatkan PAS mengamalkan fitnah dan putar belit, berhubung insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.
Ahmad Fadhli berkongsi tangkap layar respons Amirudin terhadap satu hantaran yang dibuat Ketua Eksekutif Yayasan Menteri Besar Incorporated (MBI) Ahmad Azri Zainal Nor.
Azri berkata Amirudin pada awalnya menafikan keberadaan ekskavator di tempat letupan kerana jentera tersebut telah tenggelam ke dalam tanah.
Namun Ahmad Fadhli berkata kritikan Amirudin itu tidak menjawab berkaitan penafian awalnya mengenai keberadaan ekskavator berhampiran saluran paip gas di kawasan berkenaan.
Dalam sidang media semalam, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa kerja-kerja penggalian bagi menggantikan paip pembetungan dilakukan di kawasan sekurang-kurangnya 30 meter dari tempat kejadian.
Kerja-kerja tersebut, yang berakhir pada 30 Mac, melibatkan penggunaan pengorek kaut dan ekskavator, dengan ekskavator itu disahkan tenggelam ke dalam kawah akibat letupan besar yang berlaku.
Dalam pada itu Saifuddin menegaskan sejak hari pertama insiden berlaku, Amirudin telah menunjukkan komitmennya dengan turun padang memantau operasi menyelamat, menyantuni keluarga mangsa, serta menyelaras tindakan semua agensi yang terlibat.
"YAB Datuk Menteri Besar Selangor tidak memilih untuk ‘berehat’ ketika krisis. Sejak hari pertama insiden berlaku, beliau turun padang, memantau operasi menyelamat, menyantuni keluarga mangsa, dan menyelaras tindakan semua agensi. Tindakan beliau berlandaskan amanah, bukan skrip politik.
"Kami bersama YAB Datuk Menteri Besar Selangor kekal komited memperjuangkan nasib mangsa tragedi ini memastikan mereka menerima bantuan, perlindungan, dan keadilan sewajarnya,” tambahnya.