malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
KPKM mula agih RM30 Juta pada pesawah, dijangka selesai pertengahan April
Diterbitkan:  Apr 5, 2025 8:46 PM
Dikemaskini: 12:46 PM
ADS

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, mengesahkan peruntukan RM30 juta kepada pesawah telah diterima sepenuhnya daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada Jumaat lalu.

Mohamad menjelaskan sumbangan tersebut merupakan inisiatif daripada syarikat swasta dan memerlukan sedikit masa untuk disalurkan kerana perlu mematuhi peraturan kewangan serta tatacara dalaman Bernas.

"Sehubungan itu, KPKM telah memulakan proses pengagihan kepada lebih 200,000 pesawah yang layak di seluruh negara.

“Agihan sumbangan ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan April 2025," katanya dalam kenyataan media hari ini.

ADS

Semalam, Adun Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, mendesak kerajaan menunaikan janji untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM30 juta kepada pesawah.

Ashraf berkata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan wang ihsan itu pada 13 Feb lalu setelah kerajaan 'gagal' menetapkan harga belian padi pada RM1,800 bagi setiap tan metrik.

Bagaimanapun Ashraf berkata Aidilfitri telah memasuki hari kelima semalam, namun tiada sesen pun sumbangan ihsan yang dijanjikan Anwar diterima pesawah.

Pada 13 Feb lalu Anwar mengumumkan peruntukan tersebut telah dipersetujui oleh Bernas, dengan separuh daripadanya akan diberikan lebih awal kepada pesawah sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Syawal.

ADS

Mengulas lanjut, Mohamad berkata peruntukan RM30 juta tersebut bukan daripada dana awam, sebaliknya merupakan peruntukan dalaman syarikat yang tertakluk kepada tadbir urus kewangan korporat Bernas.

"Setiap proses pengeluaran dana memerlukan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), piawaian pengurusan kewangan dalaman, serta kelulusan pihak pengurusan tertinggi syarikat.

"Maka itu, penyaluran sumbangan hanya boleh dilaksanakan setelah semua keperluan pematuhan ini diselesaikan sepenuhnya — seiring dengan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan yang diamalkan oleh pihak syarikat, terutama melibatkan dana berskala besar," jelasnya.

Dia menambah, sebagai sebuah Kerajaan Madani yang berpegang kepada prinsip keutamaan rakyat, pendekatan yang diambil adalah meminta syarikat swasta membantu golongan yang memerlukan seperti pesawah, bukan menyumbang kepada parti politik seperti yang berlaku pada kerajaan terdahulu.

"Kita percaya, sokongan korporat sewajarnya disalurkan untuk manfaat rakyat, bukan kepentingan politik," katanya.

Mohamad juga mengakui kegusaran serta harapan tinggi yang dimiliki oleh para pesawah dan menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan bantuan ini sampai kepada semua yang berhak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen